Jan 23, 2012

Taufiq (Si gadis Tionghua, Bab 2)

Salam sejahtera semua,
Taufiq Amran tersentak dari lamunan pagi. Sedikit cemas, tetapi sebenarnya lebih kepada hairan tentang bagaimana dia boleh mengelamun  di awal pagi. Kuliah pertamanya bermula pada pukul 9 pagi seperti lazimnya. “Ah, banyak masa lagi,” fikir Taufiq. Mug berisi kopi di tangan masih suam-suam panas. Teguk, teguk pantas. Dia harus cepat bersiap. Dia tahu dia takkan lambat ke kuliah tapi itu bukan satu risiko yang dia sanggup ambil. Lebih-lebih lagi bila Prof Gunagan yang mengajar pagi ini.
Jam menandakan ada lagi 10 minit sebelum masuk pukul 9. Taufiq gegas mencapai kunci motor, keluar dari bilik asrama lantas berlari-lari anak separa melompat turun tangga dari tingkat 3 bangunan kolej kediaman universitinya. Ketika dalam perjalanan, fikirannya melayang ke Prof Gunagan, harimau sastera Malaya. Sangat garang bila mengajar dan  sangat sangat kedekut bila nak bagi markah tambahan untuk assignment. Pernah Taufiq dihalau keluar dewan kuliah sebab tidak menyiapkan latihan tentang ciri-ciri pendeklamasian sastera di kepulauan Nusantara abad ke-17. Kawannya lagi malang, teringat Taufiq sambil tersenyum. Dia dihalau keluar hanya kerana salah bagi jawapan kepada soalan maut yang dilontarkan harimau tersebut.
Taufiq lihat jam di tangannya. 5 petang. Panik, dia lihat jamnya kembali, kali ini mata sedikit terbeliak. SUDAH pukul 5 petang. Mana pergi tiga kuliah, rehat tengah hari dan sesi bengkel seni hari ini? Dia mula terasa yang dia semakin kerap mengelamun. Bahayanya kini ialah tempoh berangan dia memakan masa hampir satu hari. Taufiq sedar yang dia ada sebab kenapa dia semakin selalu terganggu hingga hilang fokus untuk belajar. Jawapannya ada pada sekeping kertas poster yang dia terbaca tiga hari lepas. Poster pertandingan yang ditampal di notis pemberitahuan itu berjaya menarik banyak perhatian pelajar sains sosial dan kemanusiaan sepertinya. Dalam masa tiga hari sejak ditampal pada setiap masa orang akan berkerumun membaca isi poster itu tanpa rasa jemu. Di mana-mana Taufiq berada di dalam fakulti kawan-kawannya asyik berbincang tentang poster itu. Tidak Taufiq ketahui poster pertandingan itulah juga yang menjadi pencetus gerak tari cerita yang menyatukan Taufiq dan Fatimah di pengakhiran nanti.
Taufiq sedang menunggang motornya masuk ke bandar raya. Dia masih menunggu jawapan balas dari kawannya Arsyad sama ada mahu turut menyertai pertandingan itu atau tidak. Dia tahu yang Arsyad si pemalas tu masih sedap dibuai mimpi petang. Mereka sudah bercadang untuk masak dan makan di rumah sewa Arsyad tapi sebelum itu Taufiq harus beli beberapa bahan di pasar raya. Memang sudah masuk tahap kronik agaknya penyakit Taufiq yang kuat berangan ini sebab  masih boleh mengelamun tentang poster itu ketika sedang berjalan di celah puluhan orang. Tanpa sedar, dia tertembung dengan seorang pekerja perempuan yang sedang dalam perjalanan pulang. Malang bagi perempuan itu dilanggar sampai jatuh terduduk sebab Taufiq badannya agak sasa dan besar, walaupun tidak gemuk. Nasib baik dia tak menangis, fikir Taufiq yang teringat akan pengalaman-pengalamannya yang lalu. Taufiq menghulurkan tangan kanannya untuk bantu perempuan itu kembali bangun sambil cuba membaca tag nama yang dipakai pekerja tersebut.
“Saya minta maaf banyak-banyak Mei Ling. Awak tak apa-apa kan?”

No comments:

Post a Comment