Apr 9, 2012

Warkah Rindu

Salam sejahtera sayang,
Ini bukan kali pertama saya menulis kepada awak di laman blog. Sebelum ini memang ada saya tulis. Bunyinya macam sangat romantis tapi diri sendiri pun masih ingat tak ingat isi kandungan yang terdahulu. Maafkan saya, awak. Yang penting awak setia membaca tulisan-tulisan saya di sini. Walaupun jarak di antara kita lebih dari satu batu dan lebih dari satu laut, saya tetap ingat akan awak bila-bila masa. Cumanya bukan sifat saya untuk maklumkan aksi syahdu saya kepada awak. Bila sepatutnya memang lumrah sifat wanita perlukan bukti pengakuan seorang lelaki, saya pula menyepi.
Sunyi senyap sebegini buatkan saya rasa lagi rindu. Hairan, bila khabar menyapa selalu, saya selalu leka dengan hal lain dan awak pulak terabai. Maafkan saya awak. Kita bercanggah dan berselisih pendapat tentang percaturan hidup kita. Awak dengan pegangan awak dan saya dengan pendirian saya. Dua-dua tidak salah tapi dua-dua juga tidak boleh betul serentak. Kita terlalu lama bertegang lidah sehinggakan kita lupa yang walau apa pun yang terjadi, awak dan saya tidak berupaya hidup terpisah. Memang kadangkala atau selalu kita berenggang, tapi semuanya tidak lama kerana hidup ini selamanya perlu awak dan saya bersama.
Terima kasih kerana ingat akan saya setiap masa. Untuk masa ini, dan mungkin untuk masa bila kita harus tumpukan masa dan kudrat untuk belajar dan bekerja, awak dan saya mungkin akan membisu tanpa sapa dan khabar tetapi hati kita takkan membatu. Biarlah saya di sini dan awak di sana sekalipun; bila sampai masanya nanti, pegang tanganku erat dan kubawakanmu dunia.  :)
Sekian, sayang.

No comments:

Post a Comment