Aug 17, 2012

10.2


Radio di bilik terpasang dan Mei Ling antara dengar atau tidak slot rancangan pagi deejay yang berkumandang. Dia berada di meja, menghadap komputer ribanya yang sudah berusia lebih lima tahun. Jari-jemarinya sedang pantas menaip dan otaknya ligat memikirkan tentang strategi untuk memasuki kawasan Aswara. Sudah seminggu dia bercadang untuk ke Aswara tetapi semua ideanya buntu. Laman sesawang Aswara telah dia belek dan hari ini, perasannya, adalah hari terbuka Aswara. Hari terbuka itu adalah hari kemuncak sempena minggu bengkel seni yang akan berakhir hari ini. “Ini peluang yang bagus,” cakapnya seorang diri. Dia boleh berada di sana di celah kesibukan orang ramai tanpa sesiapa pun yang akan perasan tentang dirinya.

Mei Ling bergegas bersiap. Fikirnya lagi, siapalah dia untuk orang perasan akan kehadirannya? Barangkali tiada siapa pun akan ambil peduli. Aliya mungkin sedang bercuti, Pak Haji mungkin sudah bersara, siapa tahu? Aswara sendiri mungkin sudah berubah dari segi struktur dan organisasinya, maka wajar untuk Mei Ling tidak berasa cemas. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah bersedia untuk pergi. Sebelum dia menutup pintu biliknya sempat dia menjenguk buat kali terakhir, khuatir dia akan terlupa sesuatu. Dia terlihat sehelai selendang biru muda yang tersidai di balik kerusi lalu diambilnya. Mungkin ada gunanya nanti, bisiknya.

Dua jam kemudiannya dia tiba di perkarangan hadapan bangunan utama Aswara. Orang ramai sudah mula memenuhi kawasan lobi untuk melihat pameran yang ada di situ. Mei Ling sudah  lupa yang Aswara ini besar tempatnya dan dia mula sangsi akan rancangannya untuk melihat Aliya. Patutkah dia berada di sini, fikirnya. Atau patut dia menuju ke blok asrama, tapi ah, manakan mungkin dia boleh mencari Aliya sebegitu cara. Dia harus berfikir pantas. Mei Ling mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bangunan utama.

Mei Ling terasa seakan nostalgik bila melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Dia kini berada di lobi besar, dan hanya dengan berdiri seraya memandang sekeliling dia sudah dapat menjangka betapa Aswara telah menjadi lebih matang dan berjaya berbanding masa dahulu. Dari masa ke masa juga dia terdengar di radio atau terbaca di suratkhabar akan berita dan kejayaan Aswara. Justeru itu dia mengerti yang projek besar pertandingan teater anjuran Aswara ini bakal mencetuskan fenomena seni baru di tanah air, malah mungkin merebak ke peringkat antarabangsa. Satu helaian aturacara majlis yang ada di meja berdekatannya diambil oleh Mei Ling lalu ditatapinya. Dia meneliti program majlis itu buat beberapa ketika dan dia terperasan acara penutup pada hari itu – teater bertajuk ‘Kerusi Wali dari Acheh’ di Pentas 1. Dia yakin Aliya pasti akan berada di sana. Tidak mungkin Aliya tidak akan terlibat dengan mana-mana acara lakonan yang ada, lebih-lebih lagi di Aswara. Mei Ling melihat jam di tangannya; masih ada lima jam sebelum teater bermula. 

(bersambung)

No comments:

Post a Comment