Aug 5, 2012

Ramadhan dan aku

Salam sejahtera semua,
Aku teringat sewaktu aku umur 11 tahun. Barangkali bulan Ramadhan tahun itu merupakan yang terbaik bagi diri aku. Bila difikirkan, tiada yang istimewa pun pasal tahun tu. Tapi apa yang aku masih ingat waktu tu semua orang ada di rumah dan aku dapat berpuasa bersama-sama keluarga. Waktu tu keluarga aku baru beli vacuum cleaner. Lagi sekali, tiada yang istimewa pun pasal vacuum cleaner tu hahaha tapi yang bagusnya dapat konsol permainan percuma dari kedai tu. Konsol permainan itu yang jenis bersambung dengan TV dan ada sampai 5000 permainan. Gilalah kan? Itu benda hiburan pertama-tamalah bagi aku dan adik-beradik aku. Kitorang mana ada PlayStation atau Digimon atau Tamagochi (Kejap. Abang aku ada kot. CIS!) jadi korang boleh bayangkan betapa terkinjanya aku waktu itu.

Mungkin saat yang mengindahkan ketika itu ialah bila aku menemani mak aku (dengan bermain game!) buat biskut raya malam-malam sampai la ke waktu Sahur. Di sini aku nak habaq yang keluarga aku jarang guna istilah ‘kuih raya’. Kitorang sebut ‘biskut raya’ dan aku fikir ada betulnya di situ sebab semua juadah yang mak aku buat semua berbentuk biskut atau cookies. Takde yang lembik-lembik seperti kuih koci dan kuih pelita. Dulu mak aku rajin buat biskut raya (sebab ada lebih banyak tenaga waktu muda) dan kadang-kadang tu sampai 5-6 jenis dia boleh buat. Tapi sudah tentu kegemaran keluarga aku buat bertahun-tahun lamanya adalah biskut tart nenas. Ada satu tahun tu mak aku buat biskut tart nenas berbentuk nenas. Siap ada corak buah dan ada tangkai wa cakap lu. Tangkai nenas tu mak aku guna bunga cengkih sebab nak bagi  biskut tu wangi (memang betul wangi aku tak tipu). Aku kalau makan benda tu aku akan pegang bunga cengkih tu dan makan tart nenas tu, serupa gayanya seperti makan buah strawberri dan anggur.

Tahun ini aku dapat perasan nikmat Ramadhan datang lagi kepadaku. Datangnya kegembiraan berpuasa ini pada ketika aku dan keluargaku sahur bersama-sama. Walaupun selalunya cuma aku dan makbapak aku di rumah, tetapi kelazimannya pada hujung minggu kakak dan adik aku akan pulang ke rumah untuk berpuasa bersama. Minggu lepas abang aku dan isteri pulang ke rumah, menjadikan rumah aku rumah paling riuh-rendah di Taman Bukit Mewah ini. Dalam adik beradik aku, aku boleh dikirakan sebagai yang paling senang bangun. Yang lain tu liat nak mampus. Mungkin sebabnya kalau pasal makan ni aku cepat sedikit kot HAHAHA. Antara adegan waktu Sahur yang aku masih ingat:

Kakak : Ni siapa yang buat pecah cermin mata aku ni?!
Akim   : Akim.. tadi akim cari barang kat meja tu. Akim duduk la kat kerusi tu pastu akim dengar bunyi ‘KEPRAAAK’. Tengok-tengok cermin dia dah tercabut dari bingkai.
Ngah   : Baik betul kau pergi mengaku. Kalau aku aku buat diam je. Dah balik nanti (Johor) baru aku call mama cakap, “eh bukan Ngah. Ni mesti Safuan atau Adik yang buat ni!”
Mama : Tu la bontot berat sangat pergi duduk sampai pecah tu buat apa??


Akim  : Haaa? Sahur kita makan nasi kosong dengan telur mata lembu je?? Takde kuah ke?? (toleh kat Mama) Bukan Papa power ke masak daging kunyit?
Papa  : Mama malas nak masak hari ni. Ambik la kicap ke, sos tomato ke buat jadi kuah.
Mama : Ini je chef Papa boleh buat? Telur mata je?? (sambil gelak panjang)
Akim  : Ni kalau akim post gambar kat facebook ni TV3 confirm datangla ke rumah buat berita liputan. Siap masuk rancangan Jejak Kasihan. At least beli la frozen meatball ke, daging burger ke, frozen pizza ke, nugget ke, tak pun drummet ayam. Jadi kalau dah malas masak boleh la goreng benda-benda tu. Ni sahur macam ni yang nak buat akim menangis ni.
Mama : (dah gelak sampai terkeluar air mata. My dad pun sama ketawa.) Banyak la cerita kau..
Akim  : Pastu makan lak tak nampak apa makanannya. Mata penuh bergenang dengan air mata sebab sedih sangat lauk sahur kita pagi ni HAHA makan berkuahkan air mata la jawabnya.
Mama : Haa kau makan dengah kuah air mata tu aku nak tengok!

I love my family. Sahur yang ringkas pun boleh jadi cukup bermakna dan penuh dengan gelak ketawa. Kadang-kadang aku lagi suka makan Sahur dari makan Iftar. Semoga disempatkan bagi aku dan keluargaku untuk berjumpa dengan bulan-bulan Ramadhan yang mendatang amiin..

Salam Ramadhan, semua.

No comments:

Post a Comment

Strictly no flirty languages, excessive smileys, or being overly-familiar (unless I know you personally). Thank you for reading!