Sep 12, 2012

Ulasan rencana: Dua jalur fikrah oleh Hishamuddin Rais

Salam sejahtera semua,
Jarang-jarang sekali aku terpanggil untuk membaca rencana di laman web Malaysiakini. Sememangnya aku tak gemar semua bahan media yang berunsur berat sebelah, tak kisahlah Malaysiakini mahupun Utusan. Post kali ini pun bukan nak merejam editor Malaysiakini dengan kata-kata sumbang tapi sebaliknya aku nak memberikan pendapat aku tentang satu rencana dikarang oleh Hishamuddin Rais bertajuk ‘Dua jalur fikrah’.
Rencana yang ditulis beliau bagi aku sangat infomatif. Aku cadangkan kepada pembaca agar membaca terlebih dahulu rencana tersebut sebelum menilai buruk baik apa yang aku nak ketengahkan di sini. Aku juga sarankan kepada pembaca agar tidak bersikap emosional, tidak membabi-buta menolak, dan tidak pula terburu-buru menelan semua yang tertera. Terima dan tapis sebaik mungkin. Apa yang difahami kita teladani.
‘Dua jalur fikrah’ ialah rencana tentang sejarah. Sejarah yang sensasi kerana tidak tercatat dalam buku teks sejarah. Sensasi di dalam konteks ini bukan bererti tidak benar. Sensasinya sejarah ini kerana ini sejarah yang pembaca tidak tahu, dan bila kita baca ‘Dua jalur fikrah’ kita tahu yang memang wujud lompong-lompong dalam buku teks. Kita boleh kaitkan dengan sejarah ‘rasmi’ negara, kita boleh buat spekulasi, kita boleh mengagak. Tapi itulah batasannya. Rencana ini hanya menceritakan sejarah yang berlaku tentang Tanah Melayu dalam versinya sendiri. Diingatkan, aku tak kata itu salah dan ini betul. Aku kata ‘dalam versinya sendiri’.
Aku tidak mahu meringkaskan semua yang beliau tulis dalam satu perenggan di sini. Sebab itu aku mahu pembaca baca terlebih dahulu. Sama-sama kita bincang intipati rencananya. Jika sudah selesai membaca, kita teruskan.
Rencana ini cuba menerangkan tentang beberapa perkara. Aku fikir ianya menarik kerana aku sendiri tidak arif tentang siapakah Mat Indera, apa itu Sang Saka Malaya, Memula Moon dan kaitannya dengan Terang  Bulan. Penulis, dalam usahanya meleraikan kusut pemikiran pembaca, telah menerangkan tentang perkara-perkara ini dengan menysun atur kronologi peristiwa sejarah Tanah Melayu. Rencana ini terkarang demi menjawab pertanyaan orang tentang apakah itu Janji Demokrasi yang berlaku baru-baru ini.
Diingatkan; jangan mudah melenting, jangan tolak mentah-mentah dan jangan pula mudah percaya.
“Bulan Ogos tahun lalu, wacana Mat Indera telah dibuka luas. Tohmah dan fitnah bertaburan. Kutukan demi kutukan. Tuduhan demi tuduhan. Polis dan undang-undang dicari dan diupah. Akhirnya Mat Indera menjadi ikon anak-anak muda. Imej Mat Indera kini setaraf dengan imej Che Geuvera dan John Lennon. Akhirnya anak semua bangsa mula mengenali siapa dia Mat Indera.”
Macam sedap, bukan, ayatnya? Minta maaf aku tak kenal siapa Mat Indera. Aku tak minta maaf kepada penulis, aku minta maaf kepada diriku sendiri sebab tak cukup pakar tentang sejarah. Jadi, persoalannya sekarang, siapakah Mat Indera ini? Kenapa tiba-tiba dibangkitkan semula namanya?
Pembaca boleh google sendiri siapakah Mat Indera. Terpulang kepada pembaca untuk menilai mana satu betul mana satu salah. Aku jumpa beberapa rencana lain yang bercerita tentang Mat Indera yang mungkin boleh membantu:
Tolonglah jangan malas membaca.
Baik, aku sambung.
Apa yang aku belajar dari rencana ini ialah tentang asal usul nasionalisme Tanah Melayu. Tentang sejarahnya itu aku tahu tanpa bukti dan sokongan akademia sejarah boleh diputar belit tapi aku suka akan versi ini. Sebab itu aku cakap sejarahnya sensasi. Kalau difikirkan kembali, kenapa sejarah versi ini tidak boleh diterima? Sedangkan dalam buku teks Sejarah tingkatan satu ada mengatakan yang sejarah itu ditulis dan diturunkan mengikut pandangan siapa yang menulisnya. Kita lihat apa penulis karang yang menarik minat aku:

“Nasionalisme ialah semangat, perasaan dan laungan warga Asia, Afrika dan Latin Amerika menentang penjajah. Semangat dan kesedaran nasionalisme muncul di era pertembungan anak tanah jajahan dengan kuasa kolonial. Penjajah dilihat sebagai ‘Yang Asing' atau "Orang Lain'.

Kalau di Tanah Melayu pertembungan ini pada awalnya ialah antara manusia Melayu dengan kuasa kolonial - Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun. Justeru nama-nama seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Raja Haji, Dol Said dan Maharaja Lela muncul di tinta sejarah. Mereka dinobat sebagai pemula gerakan kesedaran untuk melahirkan ‘ingatan bersama bahawa kita sesama kita adalah Melayu. Mereka yang ‘diluar sana' ialah Orang Putih.

Kuasa kolonial datang untuk mencari harta kekayaan. Portugis yang dipanggil Bengali Putih datang sebagai penjajah untuk mencari rempah rampai. Belanda juga datang untuk tujuan sama. Inggeris datang untuk bijih timah dan emas. Jepun datang untuk memunggah apa saja yang boleh dipunggah.”
Aku terima akan kenyataan ini. Memang turut ada dalam sejarah ‘rasmi’ negara kita.
“Nasionalisme Melayu ini adalah asas nasionalisme untuk Tanah Melayu/ Malaya - ini termasuk Singapura. Tidak menerima hakikat ini bermakna tidak menerima hakikat realpolitik di hadapan mata. Nasionalisme Melayu yang luas ini telah dimanifestasikan dalam Perlembagaan Rakyat 1947. Dokumen bersejarah ini telah bersedia menerima sesiapa sahaja yang bercita menjadikan Tanah Melayu sebagai negara mereka. Negara baru ini akan menobatkan mereka sebagai Melayu. Ini satu dokumen yang amat radikal.

Orang India dan orang Cina yang dibawa oleh penjajah Inggeris pada awalnya tidak melihat bumi Melayu ini sebagai wilayah mereka. Mereka datang kerana dibawa oleh British atau kerana mahu mencari makan. Ini sikap budaya generasi imigran pertama. Masa dan luang telah mengubah semua ini. Akhinya para pendatang ini telah sebaris bangun menentang kuasa kolonial. Perlembagaan Rakyat memanifestasikan permulaan kelahiran setiakawan bangsa-bangsa untuk sebuah negara bangsa yang berdaulat.”

Tetapi sampai sini sahajalah aku suka baca tentang rencana ini. Oh, memang panjang lagi sejarah sensasi yang penulis letak seperti sejarah penubuhan UMNO, MCA dan MIC yang didalangi British. Hal yang ini memang menarik. Aku tak hairan atau terkejut kalau sejarahnya itu benar. Tiada siapa yang maksum, kecuali nabi.
Cumanya relevankah kita tahu semua ini? Fine, kau nak orang tahu yang tujuan perjuangan UMNO tak sehaluan langsung dengan semangat nasionalisme Malaya. Tapi untuk apa? Selepas kau penat berusaha untuk semua orang tahu rahsia kotor UMNO dan kroni, apa yang kau inginkan lagi?
Adakah kita masih tidak merdeka?
Apa lagi semangat nasionalisme yang belum selesai? Kenapa penulis berkata yang nasionalisme Melayu tidak sampai ke puncak yang dicita-citakan? Betulkah kita ini terbantut cita-citanya untuk mendirikan negara bangsa yang bebas Merdeka?
Aku dapat merasakan yang penulis ingin berkata politik perkauman tidak bagus untuk negara kita.
Aku taktahu. Di sini aku sangsi.
Bila bercakap tentang politik, ada dua perkara yang aku mesti pegang: bangsa Melayuku dan negara. Ini memang berbunyi perkauman tetapi fikir betul-betul. Mana mungkin aku tak bersikap perkauman kalau kerajaan yang memerintah sejak merdeka terdiri dari tiga parti politik kaum. Mana mungkin aku takkan nak hak istimewa orang Melayu kekal kalau memang dari dulu tanah tumpah darahku ini namanya Tanah Melayu.
Tanah Melayu ialah tanah hak Melayu. Tetapi demi keamanan semua, dengan jus solinya lagi, aku iktiraf bangsa lain juga. Aku tak marah kalau Cina dan India mahukan Tanah Melayu juga. Dunia ini bukan kita punya seorang.
Sungguhpun jika benar semua dakwaan penulis tentang “Ketuanan Melayu” UMNO yang berpihakkan kepentingan British dan bukan demi kemerdekaan negara, tentang bendera Sang Saka yang wujud dan berasal dari darah merah dan putih hati rakyat, setelah itu tentang lagu Negaraku dari Terang Bulan. Kemudiannya apa?
Jangan cakap kau nak reka lagu negara yang baru.
Jangan cakap kau nak kibarkan bendera negara baru.
Benci sangatkah kau kepada Perdana Menteri dan kerajaan sampai semua benda kau mahu rombak? Walaupun merangkak perlahan sekalipun, kenapa tak kita bersyukur negara kita merangkak maju ke hadapan? Atau kau fikir kau mahukan kebebasan dari parti yang asalnya dibantu British, lantas kau label negara kita sebagai masih belum merdeka?
Merdekakan kefahaman aku dahulu.

Sekian, semua.

2 comments:

Strictly no flirty languages, excessive smileys, or being overly-familiar (unless I know you personally). Thank you for reading!