Feb 16, 2014

Dongeng (1)


Petang itu petang yang luar biasa panasnya. Bukan jenis panas yang membahang seperti panas-panas hari yang lazim, tetapi panas yang menggigit-gigit kulit bagi sesiapa yang terkena cahayanya. Zamani mengelap peluh yang semakin deras mengalir di dahi. Mangga rantai yang merantai kemas motorsikalnya itu seakan degil enggan dibuka, menambahkan lagi rasa rimas akan harinya yang panas. Dia cuma mahu segera pulang ke rumah.

Minggu yang lepas Zamani dikejutkan dengan berita kematian Pak Usunya, Salleh. Salleh ialah adik kepada bapa Zamani, Johan, yang telah meninggal dunia sewaktu Zamani baru berusia tujuh tahun. Punca kematian pakciknya itu, mengikut surat yang dikirimkan oleh salah seorang anaknya, adalah kemalangan di jalan raya. Dia bertembung dengan motorsikal laju ditunggang rempit yang tak sayangkan nyawanya. Hairan, manakan mungkin motorsikal itu berupaya merempuh kereta yang dipandunya sehingga menyebabkan kematian Salleh dan mat rempit tak berguna itu.

Zamani sendiri memang tidak berapa rapat dengan pakciknya. Dia cuma ingat samar-samar yang Pak Usu pernah menyakat dia sewaktu bapanya masih ada. Pernah juga seingat Zamani bermain dengan sepupunya, Aisyah anak Pak Usu tetapi semuanya berubah bila ayahnya meninggal dunia. Keluarga Pak Usu seolah-olah menjauhkan diri daripadanya. Tiada khabar berita, panggilan telefon mahupun surat menyurat sehinggalah seminggu yang lepas. 

Yang aneh sekali terjadi adalah isi utama surat yang diterimanya. Selain daripada berita tentang kematian ayahnya, Aisyah bercerita tentang satu harta pusaka keluarga yang tidak boleh Aisyah warisi. Menurut wasiat yang ditulis bapanya, harta itu harus dipulangkan kepada waris lelaki yang asal apabila sudah cukup usia. Harta pusaka itu perlu diturunkan kepada anak-anak lelaki, dan pada mulanya bapa Zamani yang mewariskan harta itu kerana dia anak sulung. Tetapi selepas kematiannya, harta itu jatuh kepada Pak Usu untuk dijaga dan memandangkan dia tiada anak lelaki, pusaka itu beralih tangan pulang kepada Zamani.

"Harta apakah ini? Saka? Ish, gila betullah keluarga aku. Main-main dengan saka pula," gomol Zamani sambil menunggang motorsikal pulang. Sepanjang minggu dia memikirkan tentang apakah sebenarnya harta pusaka yang dia sepatutnya mewariskan itu. Setibanya dia di rumah teres sewanya, dia terjumpa suatu bungkusan kiriman pos di hadapan pintu. Bungkusan itu berbentuk kotak segi empat tepat, lebih kurang saiz sebiji bola ragbi dan kiriman itu datang daripada Aisyah, sepupunya. Nota kecil yang terselit bertulis,
"Kepada Zamani,
Ayah melarang Aisyah dari membuka peti ini. Peti ini, katanya, hanya kepada tuan pemilik untuk dibuka dan diguna. Ayah berpesan, berhati-hati, jangan bagi hilang peti ini.
Zamani, jaga diri elok-elok. Aisyah doakan Zamani sihat-sihat sahaja.
Dari Aishah." 



No comments:

Post a Comment