Mar 2, 2014

Dongeng (1.1)


Zamani membaca lama kad yang tertulis dari Aisyah itu. Fikirannya ligat memikirkan kerumitan perkara yang sedang berlaku ketika ini. Hairan, fikirnya. Kenapa kirim harta pusaka sebegini? Susah sangatkah untuk mengangkat telefon bimbit dan menghubunginya, bertanya khabar segala bagai? Zamani sendiri sudah ingat tak ingat rupa sepupunya itu. Ah, barangkali Aisyah sibuk. Atau mungkin dia menyalahkan Zamani atas kematian bapanya (itu sangat mustahil, fikir Zamani. Apa kaitan aku dan bapanya pula?). Kemudian dia teringat yang dia sudah bertukar nombor telefon. Tiada cara untuk menghubunginya melainkan alamat rumah sewanya ini.

Bungkusan yang berbalut kertas minyak itu masih berada di hujung kakinya. Diusik perlahan dengan hujung kaki, Zamani terkejut apabila mendapati peti pusaka itu agak berat sebenarnya. Dia menarik nafas panjang dan mengeluh sambil mengambil bungkusan itu dan dikepitnya di bawah ketiak. Tangannya yang lagi satu pula cuba membuka kunci pintu grill rumahnya sebelelum dia mendengar ada orang memberi sapa di luar pagar rumah.

Dia menoleh dan mengeluh panjang sekali lagi. Ada seorang pakcik tua berpakaian compang-camping dan sangat tidak terurus tersengih memandangnya. Zamani tidak tahu dari mana orang tua gila ini muncul tapi ini sudah kali kedua orang tua tersebut datang ke rumahnya. Kali pertama orang tua itu datang meminta sedekah dan sedikit air untuk diminum Zamani terasa kasihan lalu dijemputnya masuk. Niatnya itu tercemar apabila Zamani mendapati orang tua itu mengambil kesempatan ketika Zamani pergi ke dapur untuk menyediakan air minuman dengan merayau-rayau di semua bilik dan mencuri beberapa barang dari Zamani.

Kali ini tiada maaf bagimu, fikir Zamani. Dia mengangkat tangannya dan membuat isyarat menghalau ke arah orang tua tu. Dia perasan kali ini orang tua itu tidak meminta sedekah atau apa. Mata orang tua itu hanya melilau memandang Zamani semacam. Ish, orang tua ni. Semakin gila rasanya! Apa yang Zamani tidak perasan adalah orang tua itu berusaha bersungguh-sungguh untuk hanya memandang bersahaja dan tidak menumpukan fokus pandangannya ke arah bungkusan di celah ketiaknya itu. Setelah seminit dua memandang Zamani, orang tua itu kembali tersengih sebelum melompat-lompat beredar dari rumahnya.

Zamani hanya mampu terlopong lama sebelum masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.

No comments:

Post a Comment

Strictly no flirty languages, excessive smileys, or being overly-familiar (unless I know you personally). Thank you for reading!