Sejauh mana engkau sanggup melangkah demi negara?
Aku selalu dengar perkataan patriotisma ini. Dari kecik sampailah besar, demi negara yang tercinta, untuk bangsa dan negara, berkali-kali kita menyanyikan lagu patriotik sempena bulan kemerdekaan negara kita. Aku sering bertanya diri sendiri, masuk akalkah apa yang aku nyanyi ni? Biar betul aku nak mengorbankan masa, keringat, dan darah untuk negara? Apa yang negara boleh bagi kat aku sebenarnya?
Takde apa-apa. Negara tak boleh bagi aku apa-apa pun.
Ah, memang aku anak Malaysia. Dari kecil sampai sekarang aku makan duit negara. Duit rakyat. Dari sekolah rendah milik kerajaan, bayaran seringgit di bahagian pesakit luar hospital kerajaan, biasiswa MARA lagi, memang dah bertahun-tahun aku makan duit negara. Apa kau fikir kau bagi aku duit aku masih akan berkorban untuk negara? Bukannya nanti aku takperlu bayar cukai. Bukannya nanti aku takperlu ikut undang-undang negara. Bila habis belajar aku masih kena bayar balik kepada MARA sebahagian kecil dari duit biasiswa aku tu.
Tapi berbaloi ke aku berkorban untuk negara? Bila aku dah lulus belajar kelak dan mula bekerja, aku boleh cari kerja kat mana-mana di seluruh pelusuk dunia ni. Paling koman pun aku kerja kat Singapura. Gaji dua kali ganda, beb. Apa, bukan aku sorang fikir macam tu, bro. Kau bercakaplah dengan majoriti orang di Johor tu. Kau pergi jumpa dengan budak-budak sekolah, budak-budak dekat dalam felda tu, pfft senang kau temuramah SEMUA orang dekat Johor. Kau tanya apa pasal mereka semua acuh tak acuh nak belajar. Nanti jawab mereka semua ialah sebab nak cukupkan syarat je habis sekolah ni. Diorang tak sabar nak cari kerja kat Singapore sebab yelah, duit gaji darab dua. Siapa taknak duit senang.
Habis tu apa nak jadi dengan negara ni?
Jadilah apa nak jadi sekalipun. Tenaga professional semuanya pandai-pandai, lari berkhidmat di tanah asing. Semua nak kerja kat overseas sebab gaji lagi lumayan, hidup lagi selesa, Internet sepuluh juta kali ganda lagi laju, jauh dari politik kampung negara, dan malu pasal negara kita tak semaju negara orang. Bila dah duduk London, dah sedap duduk di America, nak fikir pasal cuaca kat Malaysia pun dah jadi naik menyampah. Negara kita takde salji. Negara kita takde sistem keretapi yang cekap. Nak harapkan komuter KTM? HAHA. Gelak besar la jawabnya. Nak tunggu komuter pun boleh makan masa sampai setengah jam. Itu belum kira gerabak keretapi yang penuh dengan umat manusia seantero dunia. Bila dah tau orang suka naik komuter, sediakanlah komuter-komuter baru. Negara lain keretapi datang selang 3 minit. Apa negara kita boleh buat ke? Bas intracity macam mana pulak? Aih, tak boleh lawan sistem bas di UK lah. Dekat sana bas boleh datang selang 6 minit, selang 12 minit.
Senang ceritalah kau bercakap pasal negara orang. Negara kita susah kot nak praktikkan semua tu. Cuba kau cari satu cabang jalan yang tak penuh dengan kereta. Macammana bas nak lalu? Perjalanan 10 minit boleh jadi 1 jam kalau naik bas. Itu semua sebab semua orang nak bawak kereta sendiri. Yela, negara aman makmur kaya raya, semua orang kenalah bawak kereta sendiri pergi pasar malam, pergi gym, pergi taman permainan. Apa kelas naik perkhidmatan awam. Sedar tak sedar kau kutuk negara kita lama-lama padahal KTM baru tambah gerabak komuter baru dibeli dari China. Lawa, beb. Serba baru.
Aku selalu berfikir yang semakin terpelajar orang tu, semakin bodoh dia bercakap bila nak kritik pasal negara. Bila bercakap pasal di negara kita pulak, bila tamat belajar di universiti, secara tak langsung minda kau bertukar kepada pembangkang. Ini apa yang aku perhatikanlah. Ada semacam satu trend untuk golongan terpelajar untuk join membangkang semua tindakan kerajaan di negara kita. Aku tak kata aku pro-kerajaan tapi agak-agaklah bila nak membidas tu. Mentang-mentang kau power cakap English, kau lepasan universiti, kau ada toyota Camry (ini takde kaitan, hahaha), kau pandang lekeh anggota polis di jalan, kau cakap sambil lewa pasal corruption raja-raja, kau cakap keadilan untuk semua. Kau nak hak istimewa untuk semua atau bubarkan saja kalau kau tak dapat. Kau mintak macam-macam, itu dan ini, dan andaikata bila negara kita dalam bahaya, apa reaksi kau pula? Lari ke Tanah Besar Cina, lari ke Sri Lanka. UK ada, America ada. Sanak saudara ada berkampung di Melbourne. Apa yang tinggal di negara kita nanti? Kau lain ceritalah kau punya setia kepada negara tu secair milo di warung mamak sekarang ni. Senipis bulu hidung. Apa jadi kepada kami? Ini tanah air aku. Ini tempat aku tinggal. Sebab itu aku menyampah dengan orang yang suka kritik pasal negara ni. Lebih-lebih lagi kalau dia tu menetap di bumi asing, tapi kerja dia nak condemn negara sendiri. Pasal dia rajin berceloteh potpet potpet tapi takbuat apa-apa pun. Boleh blah. Sila boleh blah.
Aku cukup berbulu kalau orang asyik tanya apa yang negara boleh offer kat dia. Kau siapa nak suruh negara berkorban untuk kau? Ada kau berjihad di jalan Allah? Ada kau berjuang untuk Palestin? Ada kau bersemuka melawan Amerika? Setakat jadi pandai dan bertaraf professional kau tak layak mintak macam-macam dari negara. Kau tak layak nak rasa malu negara tak sehebat negara lain. Kau tak layak mengeluh panjang dan kritik kerajaan macam-macam. Aku tak faham kenapa kau tak boleh rasa nak menyumbang untuk negara. Bangunkanlah univerisiti-universiti tempatan kita. Negara lahirkan tenaga professional untuk membangunkan negara, tapi apa yang negara dapat ialah manusia-manusia keji tak berhati perut. Penat-penat kau belajar di overseas tu gunanya ialah supaya kau dapat menilai apa yang baik di negara orang dan amalkannya di negara kita. Adaptasi dan ubahsuai. Betulkanlah mentaliti diri.
Demi negara, untuk semua.
Aku bercakap panjang lebar ni harap-harap janganlah ada yang nak condemn. Aku ada satu azam untuk menyumbang untuk negara. Biarpun aku masih belajar, nawaitu aku dah cukup baik. Aku takkan lari tinggalkan negara terkapai-kapai macam ni. Aku tau negara kita ni memang ada banyak masalah, ada banyak kelemahan tapi ini negaraku. Aku tak mintak negara macam-macam, tapi aku berharap negara akan bersyukur dengan apa yang akan aku sumbang pada masa hadapan kelak. Amin.
Sekian, semua.
No comments:
Post a Comment