Nov 4, 2012

Dongeng


Apa kalian mampu terkata bila tersebar yang kisah kita lebih dari kisah dongeng semata?

Apa yang kita dengar selama ini, akan tahyul lama dan wadah seni kata lama, semuanya mempunyai erti yang lebih dalam dan berselirat. Kisah teladan kita mempunyai satu ribu muka yang bertopengkan kisah rakyat jelata. Seperti sebuah konspirasi, watak-watak ceritera lama ini disengajakan untuk diabadikan sebagai pengajaran semata sedangkan kisah mereka setanding dengan kisah unik dan pelik di luar sana.

Ambil kisah pengajaran ceritera Mat Jenin, misalnya. Berabad-abad lamanya Mat jenin dikaitkan sebagai orang yang suka mengelamun dan memasang angan-angan kosong. Akibat berangan memetik kelapa ke menjual kelapa, menjadi kaya raya dan mengahwini seorang puteri raja akhirnya dia mati sebegitu sahaja. Orang-orang tua berpesan, jangan jadi seperti Mat Jenin. Nanti orang lain semua sudah ke bulan kita masih di tilam menanti mimpi menjadi kenyataan.

Adakah sampai itu sahaja kisahnya? Kisah tempatan abad ini harus tidak mendayungi ombak sejarah klasik. Akibatnya nanti akan lemas dan tenggelam.

Kita tambah ceritanya.
Kita selitkan unsur-unsur baru yang lebih dinamik, lebih sesuai untuk zaman ini.
Kita jadikan Mat Jenin wira kita.

Mat Jenin bukan insan biasa. Dia dikurniakan kuasa luar biasa yang membolehkan apa yang terjadi di fikirannya menjadi kenyataan. Pokok kelapa yang dipanjatnya dalam kisah yang kita biasa dengar sebenarnya tidak berbuah. Tidak logik untuk memanjat pokok tidak berbuah. Lagipun, kera kan ada. Mengapa tidak kera digunakannya? Ini yang apa rakyat jelata tidak ketahui, dan juga kita kemudiannya. Mereka, seperti kita, gagal untuk memahami kuasa yang Jenin ini ada. Kisah di hari kematiannya itu diolah untuk memburukkan namanya.

Kalau disamakan dengan istilah masa kini, Jenin ialah ‘The Genius’. Dia ada formula yang membolehkan masa hadapannya menjadi terang gemilang, dan semua itu diilhamkan ke akalnya dalam sedetik masa. Idea dan objektifnya mengambil tambah darab segala faktor keadaan, menjadikan rancangannya itu mustahil untuk gagal membuahkan hasil.

Dan tahukah di dalam hidup Jenin siapa kawan rapatnya?

Si Tanggang anak Si Talang dan Sri Deluma.

Kalian hanya tahu kisah Si Tanggang sebagai seorang yang menderhaka kepada kedua-dua ibubapanya, tetapi dia juga merupakan mangsa keadaan. Tanggang merupakan seorang pemuda yang berwawasan dan berkarisma. Seperti Jenin, dia juga mempunyai kuasa luar biasa . Dia berupaya menundukkan sedegil-degil manusia dan mampu membuatkan orang patuh kepada arahannya. Dia bijak mentadbir dan pandai memanipulasi orang dengan hujahnya. Tanggang ialah ‘The Charmer’ zaman ini. Malangnya juga, dia juga menghadapi dugaan yang dilemparkan oleh musuh-musuhnya. Musuh inilah yang licik meletakkan perisik-perisik yang akan membisikkan tipu helah ke telinga isterinya, dan isterinya pula kemudian mempengaruhi Tanggang.

Kalau tamadun Yunani ada Heracles dan Roman ada Hercules, Melayu kita ada Badang. Peranan Badang dalam kisah Jenin dan Tanggang akan dikupas pada lain kali.

Sebelum permulaan ceritera baru ini berakhir, inginkah kalian ketahui siapa dalang di sebalik semua kacau bilau ini? Penjahat ini bertopengkan banyak watak yang buat kita takkan sangsi akan kewujudan jahatnya itu. Orang ini sanggup mendidih anak sendiri demi mencapai cita-cita kejamnya itu. Dialah tidak lain dan tidak bukan Pak Pandir, ‘The Madman’.

Ingatlah, Pak Pandir ialah musuh utama semua watak dongeng kisah ceritera tempatan.
Kerana kebodohan merupakan perosak tamadun manusia sejagat.

Sekian, semua.

No comments:

Post a Comment