Jun 18, 2012

Studio usang (Si gadis Tionghua, Bab 7)

Salam sejahtera semua,
Dia terhenti seketika. Jari telunjuknya yang bergerak di luar kawalan minda segarnya turut mati dari menari mengikut irama lagu yang sedang berkumandang di radio. Bagaikan ditembak, dia kaku berdiri berdiam diri. Telinganya cuma menangkap bunyi bising di luar biliknya. Dua, tiga minit. Dia menghembus nafas lega. Dia berjalan menuju ke tingkap, cuba meninjau sumber kacau yang sebelum itu menyentap hati tenang dia petang itu.

Dia masih teringat ketika masa ibu dan ayahnya masih bersama. Dia baru 6 tahun. Jerit nangis dan tengking herdik ibu bapanya menjadi peneman sengsara hidupnya. Bertahun lamanya dia terpaksa menahan diri dari menangis hiba mendengar gaduh mereka. Bila dia menangis, bukan kasih sayang yang diterimanya. Cuma lebih herdikan, lebih pukulan di paha. Ibunya serupa menyesal melahirkan zuriat perempuan. Melahirkannya. Tiada tanda sayang dia terima dari ibunya. Tiada gambar mereka bersama, tiada hadiah diberi kepadanya. Bila bapanya pulang ke rumah mabuk-mabuk pula, dia belajar dari pengalaman untuk segera menyelinap keluar ke kedai milik bapa kawannya. Di situ dia berasa tenang, jauh lebih tenang dari keadaan rumahnya yang porak peranda.

Bila ibunya meninggal dunia ketika dia 12 tahun, dia semakin kerap singgah ke kedai itu kerana bapanya semakin selalu mabuk dan kerana dia telah bertekad untuk menolong bapa kawannya kerja di kedai itu. Fikirnya, selagi dia mampu memberi alasan untuk tidak berada di rumah, dia akan melakukan segala yang patut untuk tidak berada di rumah. Untung baginya kerana kawannya turut sama menolongnya. Kedai yang dia maksudkan adalah sebuah studio latihan vokal. Walaupun bapa kawannya itu seorang pelatih vokal, dia memanggilnya dengan gelaran “Boss” dan kerja sambilannya di situ cuma sebagai seorang cleaner. Walaupun Boss berkeras melarangnya bekerja, tetapi kerana kasihan Boss kasi dia peluang untuk berada di studio dengan alasan ‘kerja’.

Studio tempat dia berlindung itu merupakan tempat paling bermakna dalam hidupnya. Dari kecil sehinggalah ketika sebelum dia berhijrah keluar dari pekan itu, studio itu memberikannya suatu erti bagi dia meneruskan kehidupannya. Dia anggap studio itu seperti rumahnya sendiri. Dia tahu dan hafal setiap pelosok studio usang itu (Iyalah, aku kan seorang cleaner, monolog dalamannya melawak). Dia belajar untuk hidup berdikari, untuk hidup atas usaha dan keringat sendiri. Bila dia melihat pelajar nyanyian vokal di studio itu gigih berusaha di bawah bimbingan Boss yang serupa singa garangnya, dia mengerti yang tiada orang hidup senang tanpa diuji. Tiada yang berjaya dengan bakat tanpa latihan.

Mei Ling menjenguk ke luar tingkap. Kelihatan seorang ibu memarahi anaknya kerana bermain di luar sehingga lewat senja. Dia tersenyum keseorangan. Senyumannya kecil, sedih. Teringatkan kasih yang dia tidak pernah dapat kecapi, teringatkan kasih seorang anak termimpi. Tersenyum melihat kasih yang dia tersaksi, tersenyum sambil menyanyi lagu diminati.

No comments:

Post a Comment