Sep 11, 2012

11.1


“Boleh kau terangkan kepadaku kenapa hari ni kita menonton wayang?” tanyanya sambil dahi berkerut.
Dia tahu kawannya itu sedang tersenyum mendengar soalannya. Arsyad sedang beratur di hadapan dan dalam semak bising orang ramai di situ dia dapat mendengar bunyi orang bersiul. Arsyad juga orangnya itu. Dia berasa sedikit hairan. Bukankah kawannya ini sedang sibuk membentuk pasukan teater Uni?  Memanglah pertandingan itu lambat lagi, malah berbulan-bulan lagi lamanya, tetapi bukan perangai Arsyad untuk bermalas-malasan. Maka, ini bermakna…
“Kau ada sorok apa-apakah dari aku?” tanyanya.
“Ada. Aku sedang mencari masa dan tempat untuk bagitahu kau tentang beberapa berita… sensasi.” jawab Arsyad sambil tersenyum hambar.
Dia tahu senyum paksa itu. Oh, ini mesti berita buruk, fikirnya.
”Kau tak menjawab soalan asal aku. Kenapa kita menonton wayang?”
“Pasal aku nak hilangkan tensi di otakku ni. Aku tertekan.” Dia sampai di kaunter. “Hai, dua tiket wayang untuk cerita ‘Mountain Zoo’ pukul dua setengah.” Ditoleh kepala ke arahnya sebelum menyambung, “dan aku perlukan teman. Kau pergi ke Aswara minggu lepas, bukan? Aku naktahu apa pendapat kau tentang mereka.”
“Mantap. Dan sentiasa bersedia. Aku fikir kalau dibuatnya pertandingan drama mengejut pada hari ini pun mereka boleh terus naik ke atas pentas dan menang.” jawabnya.
“Hai kauorang! Emm, cik, tiga tiket wayang untuk cerita yang mereka berdua ini pilih.” terjah Diana dari belakang. “Eh, tak mengapakan aku ikut sama tonton?”
Kedua-dua mereka menggeleng.
“Cik, tiga tiket ini semua dua puluh tujuh ringgit. Dua puluh satu ringgit kalau cik bertiga ada kad pelajar,” celah petugas kaunter tiket itu.
“Ah, kami ada.” jawab Arsyad sambil menunjukkan kadnya diikut serta dia dan Diana.


“Mountain Zoo? Aku hairan dengan kau berdua. Mengapa cerita ni?” tanya Diana sambil melihat tiket wayangnya.
“Cerita ini bagus. Dapat sepuluh pencalonan seperti Pelakon Lelaki dan Perempuan Terbaik, Kostum Terbaik dan macam-macam lagi.” jawab Arsyad.
“Tak patriotik la kau Arsyad. Kenapa kau tak suka tengok cerita tempatan kita?” tanya Diana semula.
“Aku tak suka.”
“Itu bukan alasan.”
“Alasan yang cukup bagi aku.”
“Kau mesti ada sebab.”
“Kalau macam itu aku tanya kau balik. Kenapa kau suka tengok filem tempatan?”
“Pasal aku sokong industri perfileman negara. Kalau bukan kita siapa lagi nak tengok?” jawab Diana, merah padam.
“Kau masih suka tengok, walaupun cerita kita tiada kualiti atau pencalonan?”
“Siapa kata filem kita tak berkualiti?! Kau jangan pandang rendah orang filem negara kita.”
“Aku tak nafikan ada beberapa filem kita yang aku boleh dan sanggup tengok. Tapi rata-rata filem kita macam sampah hasilnya. Samalah mentalitinya dengan penonton negara ni. Orang kita ada citarasa yang teruk dalam bab cerita. Sikit-sikit komedi. Sikit-sikit cintan-cintun. Takpun genre seram lapuk. Memang tak ada pasaran untuk cerita bergenre lain.” balas Arsyad.
“…Itu sebab kau taksuka cerita tempatan?” tanya Diana perlahan.
“Ya.” jawab Arsyad. Dia menyambung, “Aku nak sokong produk kita, tapi kebanyakkan masanya aku sibuk rasa malu dengan kualiti mereka.”
“Kau pula macam mana, Taufiq? Apa pendapat kau?” tanya Diana. Diana lihat Arsyad cemas menggeleng-geleng kepala kepadanya.
“Aku tak suka tengok wayang. Ini semua membuang masa aku.” jawabnya keras.
Diana terkejut. “Ehhh? Kenapa pulak?”
“Pasal filem-filem di wayang semuanya ada unsur budaya kotor, bersembunyi atau secara terang-terangan muncul untuk kita tonton. Ini semua dakyah Barat untuk merosakkan minda kita.”
“Tapi menonton wayang ada kebaikkannya juga! Kita akan terhibur, kita boleh tahu akan dunia luar, kita boleh faham budaya asing, bahasa, pemahaman dan ideologi mereka.” hujah Diana.
“Itu aku tahu.”
“Jadi, apa masalahnya?”
“Bukan semua dapat terima apa yang kau cakapkan tadi. Kau tengoklah sendiri remaja sekarang ni. Aku tak kata mereka jadi lebih berpengetahuan selepas menonton filem-filem Barat. Yang mereka kutip ialah budaya kuning. Yang mereka ingat ialah perkataan lucah, keganasan dan idea-idea sumbang seperti penerimaan terhadap hubungan sejenis dan atheism.”
“Hmm..” Diana terdiam.
“Dan kita sendiri terikut-ikut dengan budaya mereka. Pakai seluar nampak seluar dalam, berjaket tebal di tengah panas terik, macam-macam lagilah. Banyak buruknya pengaruh filem terhadap anak muda kita sebenarnya dan kita silap sebab dalam diam kita lagi memburukkan keadaan.”
“Memburukkan lagi keadaan? Macam mana?” tanya Diana, kehairanan.
“Dengan ini.” Dia menunjuk kad pelajarnya ke Diana dan Arsyad. “Kenapa kau fikir hanya mereka yang masih belajar dapat potongan harga tiket wayang? Apa sebabnya? Tak bukan kerana para pelajar, yakni anak muda merangkap bakal pelapis pemimpin negara ialah golongan yang paling senang terpengaruh dengan budaya luar?”
“Baik, kami faham, Taufiq. Jomlah, aku beli popcorn dan air. Dah nak bermula wayang kita.” ujar Arsyad sebelum pergi membeli makanan.
Diana memandang diam Taufiq.Taufiq memandangnya semula.
“Jadi, kau memang tak suka tengok wayang, eh?” tanyanya malu.
Taufiq mengeluh panjang. “Takpelah, sekali-sekala tengok dengan kawan-kawan apa salahnya. Okay, jom kita pergi.” sambungnya sambil berjalan menuju ke pintu masuk panggung.
Diana tersenyum lebar sambil mengikutnya.

(bersambung)

Sep 7, 2012

10.5


Jam menghampiri pukul 5. Orang ramai mula penuh kembali setelah selesai solat Asar di surau di tingkat dua. Mei Ling bergegas susup menuju ke Pentas 1. Tak lama lagi teater ‘Kerusi Wali dari Acheh’ akan berlangsung dan Mei Ling perlu segera mencari tempat agar dirinya akan terlindung dari Taufiq dan Aliya. Mungkin juga dari penglihatan Pak Haji kalau-kalaunya, atau daripada sesiapa sahaja di Aswara ini yang tahu akan kisah hidup lampaunya. Dan sebolehnya dia mahu bersembunyi kerana mereka berdua, Pak Haji dan Aliya, tidak boleh tahu akan kehadirannya di sini. Tahu bererti malapetaka. Terkesan bererti melanggar janji menjauhi diri. Tapi Mei Ling perlu jawapan dan mungkin dengan melihat Aliya segala persoalannya akan terjawab.

Dia bersyukur sangat-sangat yang dia mempunyai kemahiran menukar intonasi dan tona suaranya sebegitu ketara. Malah Taufiq sendiri dapat diperdayanya. Loghat asalnya hampir Melayu; hanya yang betul-betul arif dapat mengesan loghat Tionghua dari mulutnya itu. Bila dia bertukar menjadi Tun Fatimah, semua orang akan mempercayainya sebagai Melayu. Ah, kalaulah orang tahu akan gelarannya itu satu Aswara akan menjadi gempar. Buat masa ini biarlah dia kelesa. Bukan tempatnya untuk dia bercerita. Dia melihat jam sudah pukul 5. Matanya ligat memerhati.

* * * * *

Teater sudah setengah jam berlangsung tetapi tiada satu kelibat Aliya atau Pak Haji dapat dikesan. Mei Ling sudah resah. Dia tidak boleh leka menonton pementasan itu. Tujuannya datang ke situ adalah Aliya. Cumapun bergitu, dia kagum dengan teater itu. Idea pementasan yang segar dan disulami dengan pencahayaan yang bagus serta sistem bunyian yang sempurna. Dia terkesan Taufiq yang berada di barisan hadapan penonton. Matanya melekat tidak berkelip melihat para pelakon memenuhi pentas. Mei Ling tersenyum keseorangan. Dia tahu perasaan Taufiq. Masing-masing ada minat dan impian yang terpendam. Dia cemburu akan Taufiq yang bebas mengasah bakat dan mengejar minat lakonannya itu. Dia sendiri mahu bebas. Ada minat yang dia harus buru tapi itu kisah lalu. Dia sedar yang semua itu takkan kembali. Di kirinya ada seorang penonton perempuan. Dari umurnya dia mengagak yang dia ialah seorang pelajar Aswara. Dia memberanikan diri bertanya tentang Aliya.

“Aliya? Aliya Tun Tejakah yang awak maksudkan?” bisik perempuan itu.
“Tun Teja? Aliya dapat pangkat Tun Teja?” Mei Ling terkejut. Tun Teja ialah gelaran diberikan kepada yang tercantik dan yang paling berkarisma di dunia seni Aswara dan Universiti. Terkenangkan akannya, Mei Ling tidak begitu terkejut mendengar berita itu. Aliya memang cantik dan ya, sudah tentu dia berhak mendapat gelaran itu.
“Bila dia dapat nama Tun Teja itu?”
“Sudah dua tahun. Dia menang Ratu Beradu buat dua tahun berturut-turut. Awak taktahukah? Saya dengar dia nak bolot kelima-lima gelaran srikandi yang ada.”
“Wow..” bisik Mei Ling perlahan. “Jadi, kalau dia sudah dapat gelaran Tun Teja…”
“…ya, dia juga pernah menjadi Che Siti dan Mahsuri. Sekarang orang lain yang dapat gelaran itu. Dan bila Aliya menang pertandingan teater hujung tahun ini, kemungkinan besar Tun Fatimah akhirnya akan bertuankan dia.”
“Huh? Tiada siapa jadi Tun Fatimah sekarang ini?” Mei Ling terkejut.
“Hish, awak ni. Ingat senang nak jadi Tun Fatimah? Gelaran itu sudah empat tahun kosong. Orang kata Pak Haji semacam tak rela bagi gelaran Tun Fatimah kepada sesiapa pun.”
Mei Ling terdiam. Pak Haji buat macam itu? Kenapa?
“Kenapa? Istimewa sangat ke Tun Fatimah sebelum ini?” Mei Ling bertanya.
“Saya tak tahu. Tak ramai yang tahu tentang Tun Fatimah sebelum ini. Kawan saya kata memang tiada rekod perempuan itu di Aswara. Kawan saya di Universiti pun kata benda yang sama. Yang ada ialah Tun Fatimah sebelumnya lagi. Dia itu memang hebat. Sekarang berada di Amerika Syarikat.”
“Iya??” Wah. Mei Ling terkedu. Rekodnya dipadam?
“Aliya tiada di sini. Dia sibuk, saya rasa. Dia pergi menjalani latihan drama di luar KL sekarang ni. Mungkin hari ini dia balik kot untuk singgah acara hari ini.”
Kalau macam itu sia-sia dia datang ke mari. Aliya tiada bererti misi selinap selidup dia ini gagal. Dia harus pulang. Dia keluar dari Pentas 1 tanpa menyaksikan sehingga tamat teater itu dan mula mencari jalan pulang. Sebuah pondok bas terletak luar pagar Aswara berhampiran dengan pintu utama. Mei Ling nampak satu bas di situ menurunkan penumpang. Dia berlari anak untuk menaiki bas itu. Pada masa yang sama sebuah teksi berhenti di bahu jalan. Seorang perempuan Melayu turun sambil mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi itu. Perempuan itu berjalan arah bertentangan dengan Mei Ling dan melintasinya tanpa pengenalan. Hanya pada pintu masuk lobi dia terdengar beberapa orang kawannya berbual sesama mereka.
“Eh, korang tengok tak lakonan impromptu dekat bengkel seni tadi? Menarik, kan?”
“Yalah. Tapi aku paling suka sesi lakonan terakhir tadi. Tak pasal-pasal dua orang penonton yang main menyerbu masuk bengkel tu kena paksa berlakon sama!”
“Ha’ahlah! Itu memang lawak. Tapi aku kagum dengan lelaki tu. Dia tak gelabah dan lakonannya pun mantap. Aku gerenti dia tu memang pelajar drama.”
“Aku suka tengok kawan dia si perempuan tu. Tapi korang perasan tak dialog pengenalannya tadi? Dia panggil dirinya Tun Fatimah. Pfft.. Rasanya dia taktahu kot Tun Fatimah tu gelaran paling terhormat kat sini? Main sebut je. Tun Fatimah yang terdahulu sekarang ni tua dan berjaya kat US sudah!”

Aliya terhenti berjalan. Adakah..? fikirnya dalam hati. Tiada sesiapa akan berani mengaku dirinya Tun Fatimah. Semua pelajar tahu dan hormat akan hal itu. Itu juga termasuk dalam tatatertib Aswara dan Universiti.  Sebagai seorang pelajar seni dan sastera, itu tidak mungkin berlaku. Lebih-lebih lagi mengucapnya di khayalak ramai. Aliya mula syak sesuatu. Fatimah, kembali ke Aswara?

(bersambung)

Aug 31, 2012

10.4 Istimewa Merdeka (Si Gadis Tionghua)


“Apasal dengan kau ni?” ujar Mei Ling keras.
Taufiq terkejut. Lengan Mei Ling dilepaskan dari genggamannya. “Minta maaf. Hey, saya Taufiq ni. Awak sudah lupa ke saya, Mei Ling?”
“Apa Mei Ling Mei Ling?? Nama aku Fatimah la. Dan aku tak kenal kau. Blah la!” Fatimah mula berjalan pergi.

Taufiq kebingungan. Dia yakin dan percaya perempuan yang naik ke atas pentas Dewan 3 sebentar tadi ialah Mei Ling. Muka dan tinggi badan pun sudah lebih kurang sama. Bila dia mendengar sajak terakhir itu dia dapat merasakan bulu romanya meremang. Sajak itu biasa-biasa sahaja; ya, mungkin lain dari yang lain tetapi unik dan mendalam erti tersiratnya. Yang Taufiq kagumi ialah suara perempuan itu. Bergetar, beralun dan berirama. Kalau orang lain hanya berdeklamasi, Taufiq fikir yang perempuan itu serupa lebih bernyanyi dari berdeklamasi. Dan suaranya, itu. Terkesan di hati dan terzahir di semua yang hadir. Sebab itu semua penonton semacam terpukau dan Taufiq terpikat. Sedap, suaranya, dan istimewa. Tapi suara itu lain dan tidak sama dengan suara Mei Ling. Dan Fatimah di depannya itu lagi lain bunyinya. Kasar dalam lembut, lebih hulu, lebih darat, lebih berahsia tentang dirinya.

“Nanti!” jerit Taufiq sambil mengejarnya. Fatimah yang berpaling melihatnya bila terdengar jeritan itu mula berlari anak menjauhkan diri. Di celah esak ramai itu Fatimah tidak mampu menghilangkan dirinya sekali lagi. Dia merasakan langkah lelaki itu semakin menghampirinya. Mahu tidak mahu dia segera masuk ke satu bilik lain melalui satu pintu di kanannya. Dia terlanggar bahu seorang perempuan lain tetapi dalam cemas dia tidak sempat meminta maaf dan segera lesap. Perempuan itu tersinggung tetapi belum sempat dia membuka mulut Taufiq ikut memasuki bilik itu. “Eh, Taufiq? Dia pun ada di sini?” bisik Diana. Dia pun menyusur mengikuti mereka.

Bilik yang mereka masuki itu rupa-rupanya adalah sebuah bengkel seni dan sedang berlangsung sesi lakonan impromptu. Lakonan spontan. Di tengah-tengah dewan ada tiga orang peserta. Perempuan yang melanggarnya tadi dan juga Taufiq turut berdiri kehairanan di situ. Di sekeliling mereka penonton duduk di atas lantai, menghadap mereka. Bengkel itu suram tanpa cahaya dan hanya bulatan tengah itu dilimpahi cahaya spotlight. Dengan segera Diana duduk bersila agar tidak terpanggil untuk berlakon sama.Taufiq dan perempuan itu pula lain ceritanya.

* * * * *

Di tengah-tengah bengkel. Satu persembahan, satu pementasan. Fatimah mengeluh. Dia berpaling melihat Taufiq merenungnya. Dia mengangkat keningnya seperti dia tidak kisah untuk berlakon. Dan sememangnya dia tidak kisah kerana dia memang suka akan lakonan, teringat Fatimah. Cis. Aku yang dalam masalah!
Lelaki 1 berpaling dan berkata: Salam pertemuan, pemuda dan saudari. Aku, remaja moden, datang untuk memerdekakan diri dan anda semua. Panggil aku Pemuda.
Lelaki 2 yang sedang duduk di atas kerusi membatuk dan berdehem sebelum berkata: Aku Orang Tua, anak-anak. Aku Orang Tua yang letih menunggu datangnya hari kemerdekaan bangsaku.
Lelaki 3 pula berkata: Perkenalkanlah diri anda, insan berdua. Aku ialah Pemerhati, dan seperti seorang pemerhati tugasku ini cuma memerhati. Perhati dan teliti dan hayati nasib bangsa nasib negara dan di kala ini aku mahu tahu erti hari merdeka kalian semua. Pada hari ini ketika ini aku, Pemerhati, hanya memerhati. Tidak berdiri di kiri atau di kanan. Tidak menurut kata Orang Tua dan tidak pula aku ikut ideologi Pemuda.
Taufiq tersenyum, tanda dia faham akan tema lakonan kali ini. “Aku berpegang dengan fahaman merdeka aku sendiri. Aku ada impian, aku ada cita-cita, dan aku takkan berdiam diri sebab aku ialah Pejuang. Aku berjuang atas nama negaraku, atas nama bangsaku, demi nasib kemajuan mereka. Aku ialah Pejuang.”
Keempat-empat memandang pula ke arah Fatimah. Mata Diana mengecil tajam, cuba mengenal pasti perempuan itu kerana rupanya seperti pernah dia kenal.
Fatimah tidak ada pilihan melainkan untuk turut serta.
“Namaku bukan mudah untuk anda ketahui. Semangatku sendiri bukan semua mampu fahami, kerana diriku sendiri bukan milikku seorang.” Fatimah tersenyum. “Bilaku berdendam, Mahsuri namaku. Andai saudara terpukau denganku, Tun Teja menjadi gelaranku. Jika kalian gerun dan takut melihatku, Tun Fatimahlah aku.” Fatimah lalu duduk bersimpuh di atas lantai, sebelum berkata, “Aku Srikandi. Aku datang untuk memerdekakan jiwaku.”

* * * * *

Orang Tua: Semua ini masih salah. Kau orang semua masih tak faham erti merdeka.
Pemuda: Mungkin pakcik yang tak faham, Orang Tua. Sebab itu negara kita masih macam ini. Masih ketinggalan!
Taufiq: Masih macam ini itu macam mana, Pemuda? Apa yang Pemerhati maksudkan tadi, ideologi? Apa ideologi kau?
Fatimah: …
Pemerhati: Pemuda bangkit dan menyatukan banyak orang. Pemuda itu sendiri ialah ideologi. Ideologi baru dan muda. Penuh dengan idea dan cita-cita ideal.
Orang Tua: (merungut) Idea yang tak tak realistik.. (Fatimah ketawa lembut)
Pemuda: Tetapi ideal! Wawasanku ideal demi pembangunan negara! Aku mahukan kesama-rataan, aku mahukan keadilan! Pendidikan percuma untuk semua dan undang-undang telus tanpa kekebalan. Tiada lagi hak istimewa, tiada lagi royalti percuma. Aku utamakan negara lebih dari bangsaku sendiri.
Orang Tua: Di situ kau silap. Kau salah! Kita Melayu! Kau cakap tentang kesamaan tetapi yang hilangnya nanti bangsa kita!
Fatimah: Negara kita bukan negara satu bangsa. Bukan Melayu seorang yang hidup di sini.
Orang Tua: Kalau kau betul-betul Srikandi kau takkan bantu si Pemuda ni.  Kau seorang srikandi. Jadilah seorang srikandi Melayu yang sebetulnya. Bela Melayu kita.
Taufiq: Aku mahukan yang terbaik untuk negara dan bangsaku. Tidak kurang dari itu. Aku ada caranya, aku tahu ianya akan berjaya. Kita mula dengan hari merdeka esok.
Pemerhati: Menarik.. baiklah, macam mana?
Taufiq: Senang caranya. Sebelum ini kau berkata tentang erti merdeka. Mungkin selama ini erti merdeka kita tidak sama, tidak sepakat. Ini yang menyebabkan kita tidak pernah bersatu dan maju.
Orang Tua: …sebab itu aku cakap kau semua masih salah!
Pemuda: Pakcik tidak membantu, Orang Tua. Betul kata Pejuang. Nampak sangat erti kemerdekaan aku tidak sama dengan erti kemerdekaan Orang Tua. Sebab itu dia suka cari pasal dengan aku.
Pemerhati: Erti merdeka adalah bebas dari cengkaman penjajah. Merdeka bererti tidak dibelenggu dengan ideologi dan kerahan paksa pihak luar yang akan mengeksploitasi kita.
Fatimah: Itu definisi merdeka kosong, sang Pemerhati. Itu apa yang orang akan cakap bila kau tanya mereka. Itu apa yang mereka hafal dari apa yang orang di televisyen bualkan.
Pemuda: Tapi itulah yang betulnya. Apa lagi erti kemerdekaan kau, Seri Srikandi?
Orang Tua: Barangkali srikandi kita ini lupa sejarah gamaknya. Lupa yang negara kita dijajah 446 tahun lamanya.
Fatimah: Dan Orang Tua masih ingat, ya, tentang bangsa Cina dan India yang datang ke sini?
Taufiq: Srikandi, kita bercakap tentang erti kemerdekaan. Bukan tentang Cina dan India. Kenapa kau jadi macam ini?
Fatimah: Habis, hanya Melayu yang merdeka? Cina dan India tidak merdekakah??
Taufiq: Bukan itu maksud aku..
Fatimah: Kalian bercakap tentang merdeka tetapi kalian takut akan erti merdeka. Jika kau betul-betul merdeka, kau takkan cakap-cakap pasal Melayu itu, Melayu ini. Kau takkan perlekehkan bangsa lain sebab Cina dan India sama penting di negara ni.
Orang Tua: Tapi bangsaku Melayu lemah! Aku wajib pertahankan Melayu!
Fatimah: Bukan dengan memulaukan bangsa lain! (Pemuda teriak: Aku setuju! Aku setuju sangat!!)
Pemerhati: Tetapi aku pernah mendengar yang bangsa lain benar-benar mempunyai erti merdeka yang berbeza dengan Melayu. Bila ditanya jika negara kita dijajah semula, mereka menjawab untuk melarikan diri ke tanah asal nenek moyang mereka.
Fatimah: Karut. Ada beribu-ribu yang sanggup mati mempertahankan negara. Kau dengar satu dua yang songsang tak semestinya yang lain sama ganyang.
Orang Tua: Itu yang aku takutkan. Jati diri lemah dan tidak patriotik.
Pemuda: Aku patriotik! Aku akan lebih patriotik kalau tampuk negara ni kami yang pegang! Leraikan parti politik lama, biar kami yang sambung!
Taufiq: Semangat merdeka boleh membara tanpa api politik, Pemuda. Betul kata Srikandi. Melayu, India dan Cina sama penting. Kita sama-sama kena memerdekakan diri kita.
Orang Tua: Hmmph. Itu aku sukar untuk percaya. Aku susah untuk terima. Aku bagi satu contoh. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bukan? Tetapi kenapa ada banyak papan tanda, iklan dan sari kata hanya dalam bahasa Cina? Kenapa ada jiran tua di rumahku takboleh bertutur dalam bahasa Melayu? Macam mana nak sepakat kalau takfaham bahasa? Sudah 55 tahun kita merdeka tapi takkan tak reti lagi cakap bahasa Melayu?
Fatimah: Habis, Orang Tua, sudah lebih 50 tahun kau merdeka. Kau reti cakap bahasa Mandarin atau Tamil??
Pemuda: hahaha.. (ketawa diam)

KRING!! Loceng berbunyi kuat. Penonton yang hadir bertepuk tangan kuat kerana taksub menonton lakonan mereka itu. Mei Ling menarik nafas dalam-dalam. Badannya seram sejuk tapi dahinya masih dibasahi peluh panas. Dia terasa tercungap. Lakonan empat lelaki di depannya itu sangat realistik dan bagus sehinggakan dia hilang kawalan diri. Mukanya mula merah padam akibat jerih melaungkan suaranya tadi. Datang si pengerusi majlis berucap sambil memuji mutu persembahan lakonan mereka semua. Dilihatnya Taufiq sedang berborak dengan lelaki Pemerhati. Bagus! Ini masanya untuk dia menyelinap keluar dari bengkel itu.

(bersambung)

Aug 20, 2012

10.3


Pelan selinap seludup Mei LIng bertukar menjadi haru-biru dalam sekelip mata.

Semuanya bermula apabila Mei Ling yang kebosanan menunggu datangnya pukul 5 petang pergi ke Dewan 3 untuk mendengar pendeklamasian puisi. Fikirnya tidak salah untuk dia meluangkan masa menghayati seni sastera. Tambahan pula Aswara telah menjemput beberapa tokoh seniman tempatan untuk turut serta berkongsi sajak gubahan mereka kepada semua yang hadir. Dia hampir dan duduk di kerusi kosong di sebelah tepi dewan, terasing sedikit dari yang lain tetapi tidak terpisah dari lontaran suara pendeklamasi. Dia cukup suka pabila semua seniman berkumpul. Lafas syahdu dan barisan kata yang berselindung, semuanya memberi semacam erti ketenangan kepadanya.

Setelah beberapa pendeklamasian, pengerusi majlis mengajak mana-mana penonton yang hadir untuk naik ke atas pentas untuk mendeklamasi puisi kepada semua. Seorang lelaki dari kalangan penonton berdiri dengan sukarelanya lalu naik ke pentas untuk bersyair. Dari raut muka dan usianya Mei Ling mengagak yang lelaki itu merupakan seorang pelajar Aswara. Selepas itu seorang perempuan berusia lingkungan awal 30-an pula mempelawa dirinya untuk mencuba mendeklamasi sajak yang digubah oleh salah seorang seniman jemputan sebelum itu. Penonton bertepuk tangan memberi semangat kepada para pendeklamasi dan Mei Ling mula terseyum menghayati acara itu. Kemudian pengerusi majlis berkata bahawa masih ada masa untuk seorang penonton terakhir untuk naik ke pentas. Dia memandang semua penonton yang ada, kepalanya lambat-lambat berpusing. Matanya berhenti ke arah Mei Ling lalu dia mengangkat tangannya sambil tersenyum, memberi isyarat kepada Mei Ling. Mei Ling tersentap, cemas.

Sudah terlambat baginya untuk beredar meninggalkan dewan itu dan dia tidak mahu menarik perhatian orang denan melarikan diri. Mahu tidak mahu Mei Ling menggagahkan dirinya melangkah ke atas pentas. Dia menghampiri mikrofon yang telah didirkan di tengah pentas itu sambil menarik nafas dalam-dalam.
“Selamat tengah hari, cik. Baiklah, cik sudah bersedia? Mahu mendeklamasi puisi sendiri atau mahu pilih mana-mana sajak yang ada di sini?” tanya pengerusi majlis sambil menunjuk beberapa helaian kertas sajak ditangannya. Mei Ling meneguk air liur, mulutnya terkunci. Lama dia mendiam sebelum akhirnya dia menggeleng. Beg tangan yang disandang di bahu diletaknya ke atas lantas. Dia menghela nafas, perlahan, dan lama berdiam, sebelum bermula:

Deras air berlari cemas
Ligat api menari rimas
Sejuk melintang angin sayu
Diam bumi menyepi membatu.

Jika aku menangis, datangkah kau kepadaku?
Bila aku tertawa, gembirakah kau denganku?
Bersatukah kita, atau terpisah akhirnya?
Akan nafsu hatiku dan iman kalbumu
Akan lisan lidahku dan kerah jiwamu.

Cemas air perasaanku deras
Rimas nyawaku berapinya ligat
Sayu hatiku berangin sejuk
Membatu mulutku kebumi diam.

Biarkan aku sendiri bila kau sepi
Lupakan senyumku bila kau gembira
Engkau aku dan kita bukan caranya
Aku terima nasibku, usahlah kau terganggu
Kerna aku tahu Tuhan masih bersamaku.

Mei Ling membongkok mencapai beg tangannya semula. Dia perasan yang dewan masih senyap. Dia mengangkat pandangan matanya perlahan ke arah penonton dan tersenyum kecil sebelum mula melangkah turun dari pentas. Kedengaran satu dua orang bertepuk perlahan, seperti berombak bunyinya menangkap bunyi tepukan orang yang lain sebelum akhinya seluruh isi dewan itu gamat dengan tepukan tangan. Beberapa orang bertepuk tangan sambil berdiri dan tersenyum memandangnya. Sang pengerusi majlis segera datang kepadanya sambil berjabat tangan. Dia meminta izin Mei Ling supaya puisi yang dideklamasinya tadi disalin supaya boleh dihimpunkan dalam koleksi puisi Aswara. Mei Ling antara dengar atau tidak semua itu. Dia sendiri berasa keliru. Bukankah dia hanya mahu meluangkan masa di sini? Kenapa dia yang naik ke atas pentas?

Dia segera beredar keluar dari Dewan 3. Di belakangnya kelihatan pengerusi majlis masih cuba mengikutnya agar dapat dia ambil butir maklumat Mei Ling. Mei Ling segera bergegas menyusup laju di celah ramai orang di koridor kanan yang menghubungkan antara dewan-dewan dan bengkel seni. Dia mencapai selendang dari dalam bagnya lalu disarung ke kepalanya pantas. Sambil berjalan, dia bergantung harapan kepada pantulan cermin-cermin yang terhias di dinding-dinding koridor untuk mengenakan selendangnya itu. Dia harus menghilangkan dirinya, fikirnya. Tiba-tiba datang tangan dari belakang, memegang hujung lengannya, “Hey, nanti! Tunggu sekejap!”
Mei Ling terhenti. Suaranya macam pernah dia dengar. “Lepaskan tangan saya.”
“Nanti. Dengar dulu apa saya nak cakap. Pandang saya.”
Mei Ling berpusing perlahan menghadapnya. Peluh mula mengalir di dahinya. “Awak nak apa dari saya?”
“Tiada apa-apa.” ujar Taufiq sambil tersenyum.

Aug 17, 2012

10.2


Radio di bilik terpasang dan Mei Ling antara dengar atau tidak slot rancangan pagi deejay yang berkumandang. Dia berada di meja, menghadap komputer ribanya yang sudah berusia lebih lima tahun. Jari-jemarinya sedang pantas menaip dan otaknya ligat memikirkan tentang strategi untuk memasuki kawasan Aswara. Sudah seminggu dia bercadang untuk ke Aswara tetapi semua ideanya buntu. Laman sesawang Aswara telah dia belek dan hari ini, perasannya, adalah hari terbuka Aswara. Hari terbuka itu adalah hari kemuncak sempena minggu bengkel seni yang akan berakhir hari ini. “Ini peluang yang bagus,” cakapnya seorang diri. Dia boleh berada di sana di celah kesibukan orang ramai tanpa sesiapa pun yang akan perasan tentang dirinya.

Mei Ling bergegas bersiap. Fikirnya lagi, siapalah dia untuk orang perasan akan kehadirannya? Barangkali tiada siapa pun akan ambil peduli. Aliya mungkin sedang bercuti, Pak Haji mungkin sudah bersara, siapa tahu? Aswara sendiri mungkin sudah berubah dari segi struktur dan organisasinya, maka wajar untuk Mei Ling tidak berasa cemas. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah bersedia untuk pergi. Sebelum dia menutup pintu biliknya sempat dia menjenguk buat kali terakhir, khuatir dia akan terlupa sesuatu. Dia terlihat sehelai selendang biru muda yang tersidai di balik kerusi lalu diambilnya. Mungkin ada gunanya nanti, bisiknya.

Dua jam kemudiannya dia tiba di perkarangan hadapan bangunan utama Aswara. Orang ramai sudah mula memenuhi kawasan lobi untuk melihat pameran yang ada di situ. Mei Ling sudah  lupa yang Aswara ini besar tempatnya dan dia mula sangsi akan rancangannya untuk melihat Aliya. Patutkah dia berada di sini, fikirnya. Atau patut dia menuju ke blok asrama, tapi ah, manakan mungkin dia boleh mencari Aliya sebegitu cara. Dia harus berfikir pantas. Mei Ling mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bangunan utama.

Mei Ling terasa seakan nostalgik bila melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Dia kini berada di lobi besar, dan hanya dengan berdiri seraya memandang sekeliling dia sudah dapat menjangka betapa Aswara telah menjadi lebih matang dan berjaya berbanding masa dahulu. Dari masa ke masa juga dia terdengar di radio atau terbaca di suratkhabar akan berita dan kejayaan Aswara. Justeru itu dia mengerti yang projek besar pertandingan teater anjuran Aswara ini bakal mencetuskan fenomena seni baru di tanah air, malah mungkin merebak ke peringkat antarabangsa. Satu helaian aturacara majlis yang ada di meja berdekatannya diambil oleh Mei Ling lalu ditatapinya. Dia meneliti program majlis itu buat beberapa ketika dan dia terperasan acara penutup pada hari itu – teater bertajuk ‘Kerusi Wali dari Acheh’ di Pentas 1. Dia yakin Aliya pasti akan berada di sana. Tidak mungkin Aliya tidak akan terlibat dengan mana-mana acara lakonan yang ada, lebih-lebih lagi di Aswara. Mei Ling melihat jam di tangannya; masih ada lima jam sebelum teater bermula. 

(bersambung)

Aug 7, 2012

Malam (Si gadis Tionghua, Bab 10)

Salam sejahtera semua,
Langit malam waktu itu pekat hitam. Sepekat dan selikat resah hatinya. Mei Ling berjalan perlahan, kakinya lemah. Aliya selalu berkata, luka di hati jangan ditelan. Jangan dibiar, jangan ditahan. Tapi dia sudah masak dengan madah Aliya. Bererti dia juga sudah biasa untuk membatu, berkeras dan berdegil. Dan Aliya sudah tiada di sisinya. Pelik, bisiknya. Sedangkan Mei Ling kerap rimas bila Aliya mula deras meleterinya. Serupa mak tradisional, barangkali. Bagi Mei Ling, Aliya itu berjawatan sebagai ibu dan kawan setianya.

Selang satu dua langkah berjalan muncul pula muka Pak Haji di kotak angannya. Muka orang tua berjanggut putih yang lusuh dimamai usia itu seperti menyeringai memandangnya. “Saya ingat, Pak Haji. Tak perlu tenung saya macam itu sekali,” ucapnya dalam hati. Cukuplah sudah orang tua itu menghantui masa silamnya. Dia tidak perlukan Pak Haji untuk menghantui fikirannya juga. Perasaan hormat, kagum dan sayang semuanya ada padanya. Pak Haji itu sudah lama dikenalinya. Jawatannya pula dalam hidup Mei Ling merangkap sebagai datuk tua pemberi nasihat dan peringatan. Pencerita akan asam garam kehidupan dan tempat bagi Mei Ling meminta tunjuk ajar.

Apa perlu dia kisah akan usaha Taufiq itu? Sememangnya tiada kaitan langsung antara pertandingan itu dengan dirinya. Mei Ling bagaikan tidak percaya bila Taufiq mula bercerita tentang teater dan Aswara. Ingatan lampau menyinggah tiba dan Mei Ling tidak boleh berdiri senyap begini. Dia perlu berjalan atau berlari atau menggerakkan badan agar otaknya menyepi. Sepanjang malam itu Mei Ling berjalan menghirup udara malam untuk menenangkan fikiran. Amalan ini sudah lama dia dan Aliya lakukan bersama sewaktu masa dahulu. Dan kini dia mula berjalan sambil sesekali merenung bintang langit. Aswara, fikirnya lagi. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Aliya. Barangkali Aswara memberi Aliya lebih peluang untuk dia meleter seseorang, atau sesiapa yang dia jumpai. Atau mungkin Mei Ling sudah berubah, sudah matang dan sudah lut akan leteran mesra Aliya itu, menyebabkan Aliya meninggalkannya. Sudah berani untuk melupakan masa yang sudah berlalu. Dia sedar yang dia rindukan kawannya, Aliya. Biarpun Pak Haji melarangnya dari terlibat dengan Aswara, atau dengan Aliya sekalipun, dia harus jenguk pergi. Mungkin masa kali ini sudah merawati luka hati kita semua, bisik hatinya.

Tapi bagaimana harus dia mula semua ini? Dia bukan siswazah Universiti, dia bukan ahli kelab teater, dan dia sudah semestinya tidak ada kaitan dengan Aswara. Barangkali dia boleh menyamar jadi tukang masak cafe, ataupun salah seorang dari anggota pencuci. Satu perkara yang penting, Pak Haji dan Aliya tidak boleh tahu sama sekali akan kehadirannya di Aswara. Kalau tidak, luka lama akan berdarah. Sedangkan dirinya sekarang ini membawa luka hati yang meradang merah. Tapi dia perlu pergi kerana dia masih belum sembuh. Mungkin dengan melihat akan kesejahteraan Aliya dia akan sembuh dan boleh memulakan diari kehidupan baru. Tidak lama lagi, fikirnya. Duit sewa biliknya sudah cukup dan Mei Ling yakin dia tidak perlu lagi berpenat lelah bekerja mencari duit lebih. Pelajarannya boleh disambung. Dia cuma perlu memikirkan jalan untuk menyelinap masuk dan memerhati. Dan Aliya tidak perlu tahu.

Jun 20, 2012

Makan malam (Si gadis Tionghua, Bab 9)

Salam sejahtera semua,
Taufiq dan Mei Ling sedang berdiri di hadapan stall makanan nasi lemak di food court, membaca menu yang terpampang. Taufiq memandang senyap Mei Ling, seraya meminta kepastian dan melihat Mei Ling membalas renungannya sambil mengangguk kecil. 2 set nasi lemak ayam kukus dibeli Taufiq manakala Mei Ling menuju pula ke bahagian air untuk membeli minuman untuk mereka berdua. Mei Ling membawa talam minuman dan mula mencari meja kosong bila dia melihat Taufiq sudah pun duduk di suatu tempat dan melambai tangannya ke arah Mei Ling.
“Mei Ling, boleh kita berkenalan?” Tanya Taufiq tanpa rasa malu. Mei Ling terserdak. Dia menampar perlahan dadanya berkali-kali sebelum meneguk air sebelum berkata, “Berkenalan? Awak nak berkenalan macam mana lagi?”
“Takdelah. Saya cuma tahu nama awak je. Saya nak tahu lebih lagi pasal awak.”
“Amboi. Tak tau malu.”
Taufiq tersenyum. “Saya tahu. So.. Mei Ling, boleh awak cerita sedikit pasal diri awak?”
Mei Ling terdiam. Matanya merenung jauh tanpa fokus. Taufiq hanya diam menunggu.
“Hmm.. pasal saya eh. Apa yang awak nak tahu?” Toleh Mei Ling kepadanya.
“Okay. Awak umur berapa tahun?”
“21.”
“Awak masih belajar?”
“Hmm awak taknampak ke uniform kerja saya sekarang ni?”
“Awak tinggal di mana?”
“Di sini.”
“Hobi?”
“Dengar lagu.”
Dan untuk beberapa ketika Taufiq akan melontarkan lagi soalan-soalan dan Mei Ling akan cuba menjawab soalan Taufiq dengan respons yang seminimum mungkin. Mungkin Taufiq perasan yang Mei Ling tidak berasa selesa ditanya soalan sebegitu rupa maka Taufiq mula bercerita tentang dirinya.
“… dan sekarang ini saya sedang belajar di Universiti. Tujuan saya datang ke sini pun sebenarnya sebab saya hendak beli barang untuk persiapan pertandingan Aswara tak lama lagi ni.”
“Aswara..?” Tanya Mei Ling kehairanan.
“Aswara itu singkatan bagi Akademi Seni Budaya…”
“… dan Warisan Kebudayaan. Ya, itu saya tahu.” celah Mei Ling tersenyum. “Saya cuma rasa hairan sebab setahu ingatan saya Universiti tidak pernah terlibat dengan acara Aswara.”
Taufiq terasa kagum. “Wah, banyak jugak yang awak tahu tentang Aswara ni. Tak, kali ni Aswara menganjurkan pertandingan teater terbuka peringkat kebangsaan. Semua orang boleh masuk serta. Tak kisah lah teater negeri atau mana-mana kelab teater di dalam negara ni. Dan sudah tentu, termasuklah kelab teater Universiti.”
Mei Ling terserdak. “Pertandingan... teater terbuka??” Detik hatinya bersuara, “Apa yang si orang tua tu fikirkan? Apa sudah jadi dengan Aswara ni??” Dia menarik nafas panjang dan bertanya, “Jadi, Taufiq, awak hendak masuk pertandingan itu kah? Awak mesti ahli kelab teater Universiti, bukan?”
“Yep. Kawan saya sudah hampir siap menulis skrip drama kami. Saya sudah berfiikir di mana nak cari koreografer untuk seni tarian. Rasanya kawan saya Arsyad tahu di mana nak cari pelatih bahagian nyanyian. Ahli kelab teater yang lain ada yang mahir bahagian pencahayaan, prop  dan sebagainya. Saya tak sabar!” ujar Taufiq penuh semangat.
“Dan awak ni.. pelakon teater?”
“Ya.”
“Satu lagi saya nak tahu, drama teater awak ni.. tradisional atau moden?” Tanya Mei Ling penuh debar, penuh mengharap. Ya Tuhan tolonglah jangan jadi macam-macam kepada Aswara ni. Dia teringat akan Pak Haji. Akan Aliya. Dia teringat ibunya.
Taufiq cuma memandang Mei Ling dan makanannya yang separuh luak sebelum berkata, “..tradisional.”
Mei Ling hanya mampu menutup mata. Ketika fikirannya sedang ligat memikirkan maklumat yang perlu diproses jari telunjuknya mula menari mengikut irama lagu yang kedengaran di kawasan food court itu. Pergerakan jari yang kecil dan tidak ketara, perlahan tetapi lembut lentoknya, menjadi cukup bagi Taufiq untuk menyedarinya selepas beberapa ketika.

Taufiq dan Mei Ling (Si gadis Tionghua, Bab 8)

Salam sejahtera semua,

“Saya tak apa-apa.”
Mei Ling menggalas kembali beg tangannya. Dia menongkat kedua-dua tangannya untuk kembali berdiri tetapi badannya hilang imbangan dan mula terjatuh semula. Taufiq segera mencapai tangan Mei Ling dan membantunya untuk bangun.
“Terima kasih. Ermm. Terima kasih. Saya minta maaf terlanggar awak. Okay saya pergi dulu,” Mei Ling bersuara. Dia bergegas pergi. Taufiq mendepa tangannya menghalang sambil melompat ke hadapan Mei Ling.
“Nanti nanti nanti dulu. Awak betul tak apa-apa ni? Saya rasa agak kuat awak jatuh tadi.”
“Betul saya tak apa-apa.”
“Tipu.”
“Tak tipu.”




“Dahi awak sedang berkerut.”
“Dahi? Berkerut? Taklah! Mana ada!” balas Mei Ling sambil tangannya automatik menutup dahinya.
“Nampak sangat awak rasa sakit, bukan?” ujar Taufiq, tersenyum. “Macam ni lah; apa kata saya belanja awak makan malam di sini. Lagipun hari sudah petang. Anggaplah ini sebagai cara saya meminta maaf.”
Mei Ling mengecilkan matanya  sambil merenung tajam Taufiq. “Saya tak kenal awak pun. Sudah biasakah awak buat macam ni – langgar perempuan tak dikenali lepas itu pelawa belanja mereka makan sebagai cara minta maaf?”
Telinga Taufiq merah padam. “Tidak. Sekali-kali bukan seperti apa yang awak bayangkan. Saya cuma rasa bersalah. Itu je. Saya memang tidak ada niat apa-apa pun!”
Mei Ling masih separuh tidak percaya.
“Betul awak ni?”
“Betul.”
“Sumpah?”
“Iya.”
“Demi Allah?”
“Demi.. eh, awak Islam kah?” tanya Taufiq terperanjat. Mei Ling mengangkat kening sebelah. Tidak sangka gadis Cina di depannya ini seorang Islam sebab dia baca tag namanya jelas nama seorang Cina.
“Taklah. Saya cuma sudah terbiasa bercakap macam ini. Lagipun kawan baik saya seorang Melayu.” balas Mei Ling bersahaja.
“Jadi.. tawaran saya sebelum ni. Boleh saya belanja awak makan malam di sini?”
“Hmm..”
“Please?”
“Makan di mana?”
“Mana-mana awak nak.” Balas Taufiq, pantas.
“Okay, kita makan di steakhouse tingkat bawah ni, amacam?” muka Mei Ling serius.
“Er.. restoran steakhouse tu?” Taufiq bersuara perlahan sambil menelan air liur keringnya. “Mana aku nak cari duit belanja dia ni makan?? Keringlah wallet aku!!” Monolog dalamannya berteriak cemas.
“Hi hi. saya gurau sajalah. Haha tau pucat muka. Lain kali jangan cepat sangat offer orang belanja makan. Okay, kita makan di food court. Sesuai tak dengan awak ni?”
Taufiq menarik nafas lega. “Ha, yang itu saya mampu. Baik, mari kita pergi! Saya dah lapar ni.”
Mei Ling ketawa kecil. “La, rupanya awak sedang mencari alasan untuk teman awak makan malam ke? Nampak gaya macam saya sudah kena tipu.”
“Haha eh taklah. Hmm mungkin. Tak pasti. Entah. Tak tahu,” main Taufiq bersahaja. “Oh, sebelum saya lupa; nama saya Taufiq Amran. Sila panggil saya Taufiq.”
“Hmm okay Taufiq Amran. Nama saya Mei Ling.”
“Saya tahu.”
“Amboi cheeky betul perangai.”
“Ok ok jom kita pergi makan.”
“Jom.”

Jun 18, 2012

Studio usang (Si gadis Tionghua, Bab 7)

Salam sejahtera semua,
Dia terhenti seketika. Jari telunjuknya yang bergerak di luar kawalan minda segarnya turut mati dari menari mengikut irama lagu yang sedang berkumandang di radio. Bagaikan ditembak, dia kaku berdiri berdiam diri. Telinganya cuma menangkap bunyi bising di luar biliknya. Dua, tiga minit. Dia menghembus nafas lega. Dia berjalan menuju ke tingkap, cuba meninjau sumber kacau yang sebelum itu menyentap hati tenang dia petang itu.

Dia masih teringat ketika masa ibu dan ayahnya masih bersama. Dia baru 6 tahun. Jerit nangis dan tengking herdik ibu bapanya menjadi peneman sengsara hidupnya. Bertahun lamanya dia terpaksa menahan diri dari menangis hiba mendengar gaduh mereka. Bila dia menangis, bukan kasih sayang yang diterimanya. Cuma lebih herdikan, lebih pukulan di paha. Ibunya serupa menyesal melahirkan zuriat perempuan. Melahirkannya. Tiada tanda sayang dia terima dari ibunya. Tiada gambar mereka bersama, tiada hadiah diberi kepadanya. Bila bapanya pulang ke rumah mabuk-mabuk pula, dia belajar dari pengalaman untuk segera menyelinap keluar ke kedai milik bapa kawannya. Di situ dia berasa tenang, jauh lebih tenang dari keadaan rumahnya yang porak peranda.

Bila ibunya meninggal dunia ketika dia 12 tahun, dia semakin kerap singgah ke kedai itu kerana bapanya semakin selalu mabuk dan kerana dia telah bertekad untuk menolong bapa kawannya kerja di kedai itu. Fikirnya, selagi dia mampu memberi alasan untuk tidak berada di rumah, dia akan melakukan segala yang patut untuk tidak berada di rumah. Untung baginya kerana kawannya turut sama menolongnya. Kedai yang dia maksudkan adalah sebuah studio latihan vokal. Walaupun bapa kawannya itu seorang pelatih vokal, dia memanggilnya dengan gelaran “Boss” dan kerja sambilannya di situ cuma sebagai seorang cleaner. Walaupun Boss berkeras melarangnya bekerja, tetapi kerana kasihan Boss kasi dia peluang untuk berada di studio dengan alasan ‘kerja’.

Studio tempat dia berlindung itu merupakan tempat paling bermakna dalam hidupnya. Dari kecil sehinggalah ketika sebelum dia berhijrah keluar dari pekan itu, studio itu memberikannya suatu erti bagi dia meneruskan kehidupannya. Dia anggap studio itu seperti rumahnya sendiri. Dia tahu dan hafal setiap pelosok studio usang itu (Iyalah, aku kan seorang cleaner, monolog dalamannya melawak). Dia belajar untuk hidup berdikari, untuk hidup atas usaha dan keringat sendiri. Bila dia melihat pelajar nyanyian vokal di studio itu gigih berusaha di bawah bimbingan Boss yang serupa singa garangnya, dia mengerti yang tiada orang hidup senang tanpa diuji. Tiada yang berjaya dengan bakat tanpa latihan.

Mei Ling menjenguk ke luar tingkap. Kelihatan seorang ibu memarahi anaknya kerana bermain di luar sehingga lewat senja. Dia tersenyum keseorangan. Senyumannya kecil, sedih. Teringatkan kasih yang dia tidak pernah dapat kecapi, teringatkan kasih seorang anak termimpi. Tersenyum melihat kasih yang dia tersaksi, tersenyum sambil menyanyi lagu diminati.

Perkhabaran

Salam sejahtera semua,
Di sini aku ingin memaklumkan dengan sedikit perasaan teruja dan mungkin sedikit girang yang cerita Mei Ling bakal kusambung. Kerap kali aku dibelenggu perasaan mahu berhenti dan biarkan saja Si Gadis Tionghua ini terkubur tetapi bila kubaca dan baca perasaan sayang itu datang balik. Dan bila aku kebuntuan angan dan idea, lagu Tinting nyanyian Noraniza Idris akan kembali menyegarkan akal aku. Memanglah, asalnya cerita ini terlahir dari alunan irama dan rentak lagu tersebut. Masakan pencetus ilham tidak berupaya kembali membangkitkan idea cerita, berkali-kali sekiranya perlu.
Dan ada di benakku cerita baru yang aku selalu lamunkan, selalu angankan bila mindaku lapang tanpa bebanan fikiran. Cerita bertemakan kisah dongeng, kisah tempatan kita yang semakin dilupakan orang kita sendiri. Aku fikir untuk menyelitkan beberapa idea tentang projek idea cerita baharu ini dalam cerita Si Gadis Tionghua. Harapnya agar pembaca akan berasa sedikit teruja, sedikit terhibur tentang cubaan dayus aku dalam menulis cerita-cerita untuk tatapan semua. Kerna aku bukanlah penulis, hanya insan biasa yang suka menulis.
Diharapkan perkhabaran ini sama indah dengan rupa. Lebih bermakna dari seni kata. Terlaksana dan berjaya.

Sekian, semua.

Feb 12, 2012

Cemburu (Si gadis Tionghua, Bab 6)

Salam sejahtera semua,
“Taufiq, siapa perempuan tu?” tanya Diana bersahaja. Dia cuba mengawal intonasi suaranya kepada neutral, supaya Taufiq tidak dapat kesan sedikit perasaan cemburu dan ingin tahu yang lahir di hatinya. “Hm, nama dia Mei Ling. Aku kenal dia tempoh hari. Pembetulan: aku sebenarnya tak sengaja terlanggar dia waktu aku keluar ke bandar hari itu. Kalau tak silap, kat pasar raya ni lah aku langgar dia! Jadi, secara tak langsung kitorang pon berkenalan,” balas Taufiq sebelum ketawa besar. Menarik bunyi ketawanya, fikir Diana. Hujung mulutnya turut terukir senyum kecil.

Mereka sambung berjalan. Diana masih tidak berpuas hati dan bertanya lagi, “Jadi, sebagai hukuman kau langgar dia, dia mintak kau belanja dia makan? Wah, entah-entah dia memang sengaja buat-buat kena langgar kemudian pura-pura sakit.” Taufiq diam sebentar, pandangan matanya jauh ke hadapan. "Taklah. Memang kuat kot aku langgar dia. Dan pasal belanja makan tu… adalah ceritanya. Tak menarik pun. Aku taknak cerita kat kau,” jawabnya, masih tersenyum. Hmm, bagus. Dia tidak melenting bila aku cuba jadikan si Mei Ling tu yang jahat, fikir Diana. Maknanya, tak ada apa-apa yang istimewa antara mereka.

So.. Taufiq, kau mesti nak masuk pertandingan Aswara itu, kan?” tanya Diana. Seperti Taufiq, Diana pun memberi perhatian kepada poster yang ditampal itu. Bezanya cuma dia masih tidak pasti sama ada mahu terlibat atau tidak. Apa yang Diana tahu, pada tahun ini Aswara menganjurkan pertandingan teater kebudayaan Melayu peringkat kebangsaan. Pertandingan itu terbuka, dan setiap pasukan yang bertanding harus mempersembahkan sebuah teater bercirikan seni tradisional Melayu. Tiada tema yang khusus diberikan, tapi Diana tahu untuk memenangi pertandingan teater ini persembahan itu haruslah dinamik. Bererti, selain daripada jalan cerita dan skrip yang mantap, teater yang bagus perlu ada nyanyian, tarian dan musik latar belakang yang bersesuaian.

“Itu sudah semestinya,” balas Taufiq. “Dan bercakap pasal pertandingan Aswara, Arsyad pun akan turut serta. Join lah team kitorang, boleh kau jumpa Arsyad nanti,” sinis Taufiq sambil tersenyum memandang Diana. Diana mengeluh. Semua orang tahu yang Arsyad tu suka akan Diana. Semua orang, termasuk aku, cuma masalahnya aku tak minat kat kau! Diana sudah keras memberi petunjuk yang jelas dan nyata yang dia tidak berminat tapi Arsyad ni termasuk dalam kategori degil nak mampus. Taufiq seorang yang tahu sudah berapa lama Arsyad tu dah jatuh hati dengan Diana. Dia rasa kasihan sebab Diana itu cantik rupanya. Dia pelik kenapa Diana tu masih single sedangkan berpuluh-puluh lelaki mengaku mahukannya jadi teman wanita.

“Di, jomlah masuk pertandingan ni. Aku dengar kelab teater Seri Menanti memang sudah confirmed turut serta. Itu belum lagi Wau Bulan. Afandi, tukang skrip team kita kata dia sedang bikin skrip teater yang mantap supaya kita boleh kalahkan kelab teater Tamingsari. Itu semua kelab-kelab teater peringkat negeri. Kita cuma budak-budak uni. Kami perlukan kau, Di.”
“Macam mana pulak kau perlukan aku? Apa yang aku boleh buat?” tanya Diana, keliru.
“Kami perlukan seorang koreografer seni tradisional. Setakat ini hanya kau seorang yang aku tahu arif dalam hampir semua jenis tarian tradisional Melayu. Kau jugak yang bagitau kat satu batch kita waktu sesi induksi dulu.” jawab Taufiq. “Kitorang perlukan kau take in charge bahagian tarian teater ini.”

Feb 11, 2012

Diana (Si gadis Tionghua, Bab 5)

Salam sejahtera semua,
“Sedapnya benda alah ni,” kata Diana sambil mengunyah croissant bersalut cokelat dan berinti madu. “Kau nak sikit?” ajaknya lagi kepada Taufiq yang sedang sama-sama berjalan dengannya di pasar raya. Taufiq toleh kepalanya ke sisi untuk melihat apa yang Diana makan dan menggeleng. “Di, kau makan tak ada rupa macam perempuan makan. Aku pun tak sanggup makan benda semanis tu.” ujarnya.

Nur Diana mencebik bibir dan terus makan. Baginya tak salah untuk menikmati makanan seperti itu. Badannya masih dikawal, malah dia sebenarnya sangat menjaga berat badannya. Badan ideal bagi setiap wanita, fikirnya tentang diri sendiri sambil tersenyum. Dia sudah pun berasa sangat gembira sebab dapat berjalan-jalan dengan Taufiq keluar ke bandar, walaupun hanya untuk menemani Diana membeli buku untuk kuliah. Sedikit kelainan sebab selalunya mereka hanya berjumpa di fakulti universiti. Kali ini tidak. Walaupun Taufiq hanya seorang kawan, dia tahu ramai kawannya yang akan rasa cemburu bila dapat tahu Taufiq keluar bersamanya.

Fikirnya, Taufiq ini boleh tahan juga orangnya. Tidak terlalu handsome (sebab dia tak ada keyakinan untuk memiliki lelaki kacak sebagai teman lelaki), tidak terlalu sasa (dia rasa sedikit geli melihat lelaki yang ototnya berketul-ketul) dan bukan seorang casanova (dia berharap, “Tolonglah!”  si Taufiq ni bukan casanova). Bila difikirkan kembali, Taufiq itu alim orangnya, sangat pemalu bila berbual (“Waaaah sangat cute!”) dan juga pendiam. Dia bukan lelaki yang suka mengusik-usik perempuan di tepian jalan (padahal dia dapat tahu yang Taufiq itu diam sebab selalu mengelamun dan berangan setiap masa). Diana tidak rasa dia perlukan seorang teman lelaki pada waktu ini. Dia masih baru di universiti dan pengalaman silamnya itu membuatkannya lebih berhati-hati tentang bercinta. Tapi kalau Taufiq pun sudi dengannya, tidak mungkin dia akan berkata tidak. Senyum Diana semakin lebar.

“Oi, kenapa kau tersenyum sorang-sorang ni? Dah jumpa ke apa barang yang kau nak beli?” kejut Taufiq dari lamunannya. Dah sudah. Dia pulak yang mengelamun. Ni mesti effect berjalan dengan Taufiq. Taufiq, kawannya. Dia tak berhenti-henti menekankan yang Taufiq itu kawannya (buat masa sekarang!), sedangkan ada banyak kawan perempuannya yang bermatian nak bercakap dengan Taufiq. “Erm, belum. Buku yang aku perlu beli tu takde pon kat rak sini. Dari tadi aku cari',” balas Diana. Dia melihat jam di tangan. Hari sudah petang. Dia menoleh ke Taufiq sambil berkata, “Am, boleh tak kau tolong aku carikan buku tu? Aku rasa sangat lost.”

“Fine, aku tolong kau cari. Tapi tolong jangan pangggil aku Am. Itu panggilan keluarga sahaja,” balas Taufiq. Dia memandang jauh di kedai buku itu, merenung rak buku yang manakah buku Diana cari itu mungkin berada. Dia bergerak ke bahagian lain. Diana sambung mencari. Datang Mei Ling di sisinya, melihat buku-buku di rak yang sama. Riak mukanya berkerut bila jari telunjuk yang digunakan berhenti, menandakan jilid buku yang dicari tidak dijual di rak. Dia merungut perlahan, tapi cukup untuk Diana mendengarnya. Diana ketawa kecil. Mei Ling memandang Diana sambil separuh tersenyum. “Tak boleh harap, kan, kedai buku ni?” katanya. “Kedai je besar. Yang sibuk dijualnya cuma komik, majalah dan buku autobiografi Steve Jobs. Geram.” Sambil ketawa, Diana membuka mulutnya untuk bercakap dengan gadis Cina yang dia tidak kenal ini tetapi dia lihat Taufiq sedang berjalan ke arah mereka. Melihat pergerakan mata Diana, Mei Ling berpusing untuk melihat siapa yang berada di belakangnya.

“Taufiq Amran.. bukan? Hari itu awak langgar saya sampai sekarang punggung saya rasa sakit,” ujar Mei Ling sambil tersenyum.
Taufiq tersenyum bersalah. “Mei Ling, awak jugak yang cakap awak tak apa-apa hari itu. Nak saya belanja awak makan lagikah?”

Mei Ling melangkah pergi, tapi sempat dia toleh kepalanya ke arah Taufiq sambil menjelir lidah, “Saya tak minta awak belanja pun. Awak tu yang rasa bersalah sangat,” balas Mei Ling, masih tersenyum. Mei Ling keluar dari kedai buku. Taufiq dan Diana hanya memerhatikan Mei Ling pergi. Diana memandang Taufiq yang masih diam melihat pintu keluar kedai buku itu.

Diana terdiam. Awak?? Saya?? Sejak bila Taufiq guna awak-saya bila bercakap?? Dia belanja perempuan makan??

Api cemburu di hati Diana tercetus.

Jan 23, 2012

Aswara (Si gadis Tionghua, Bab 4)

Salam sejahtera semua,
Aku kira selagi idea cerita ni mencurah-curah laju terbentuk di kepala aku harus bersegera menulisnya di sini. Aku takut nanti bila badan dah rasa penat-penat, diri sudah jadi malas nak menulis, cerita ini akhirnya terkubur sama seperti semua cerita-cerita idea aku yang terdahulu. Terus-terang aku katakan inilah kali pertama idea cerita aku yang ada pengakhirannya. Selalunya bila ilham angan itu datang, konsep ceritanya saja yang ada tapi jalan cerita dan tema idea itu masih samar-samar. Kali ini aku yakin aku boleh menghabiskan apa yang aku bayangkan segala menjadi sebuah cerita yang lengkap. InsyaAllah!

Aku ni bukanlah seorang yang poyo lagi bajet bagus bila menulis. Ilmu penulisan taklah setinggi mana, cetek saja pun. Cita-cita pun taklah berkobar-kobar sangat. Cumanya aku rasa ralatlah kalau idea cerita ni aku lupakan sebegitu saja. Bila aku perhati industri perfileman kita, memang tak banyak filem berkualiti tinggi yang ada. Kalau ada pun semuanya bergenre serupa. Temanya berulang-ulang. Tiada variasi dan pelakonnya pun tak melambak. Aku puji pelakon-pelakon tempatan kita. Memang sangat berbakat cuma sayang bilangannya tak banyak. Aku fikir kalau aku ada banyak duit, pandai mengarah dan ada banyak masa untuk diluangkan, aku akan bikin filem aku sendiri berdasarkan cerita idea aku. Tapi itu angan-angan Mat Jenin sajalah. Aku tau aku ni siapa, sebab itu aku cuma menulis di sini untuk melegakan hati sendiri.

Bagi sesiapa yang masih tidak kenal akan Aswara ini, di sini aku nak maklumkan kepada semua. Aswara ini juga penting dalam jalan cerita Si gadis Tionghua ini kerana nama Aswara ada disebut di poster pertandingan yang Taufiq baca. Tak pasti sama memang sudah sahih atau tidak, tapi Aswara ataupun nama panjangnya Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan adalah suatu badan induk yang paling berprestij dalam memartabatkan  seni kebudayaan negara kita. Aswara ini memang wujud dan bukan aku reka. Aswara ni memang wujud, dan aku tak tahu sama ada Aswara ini sama statusnya seperti Istana Budaya atau tidak, tapi aku betul-betul berharap jawapannya ya. Jadi, dalam cerita yang aku reka ini, nama Aswara itulah penyebab utama kenapa poster pertandingan itu menjadi topik perbualan yang hangat di kalangan orang ramai. Sebab kali ini Aswara mempunyai agendanya yang mantap lagi tersendiri dan satu negara akan merasa bahang rancaknya demam pertandingan peringkat kebangsaan yang julung-julung diadakan ini.

Gendang dipalu (Si gadis Tionghua, Bab 3)

Salam sejahtera semua,

“Nandung tuan gendang dipalu... ting ting
Ting ting dengan nandungnya tuan.”
Aku selalu dengar lagu Tinting ni tak kira di mana aku berada. Kalau dekat rumah, aku akan guna pemain mp3 Sony aku dan kalau aku lupa nak bawak benda tu bila keluar rumah, aku boleh dengar lagu ni guna handphone aku. Bila lagu ni bermain aku akan duduk diam-diam dan dengar lagu ni dengan khusyuknya. Adalah menjadi pantang bagi aku untuk diganggu ketika aku sedang menikmati sesuatu, baik muzik mahupun tayangan movie. Maka kalau aku diganggu tu aku terpaksa main balik lagu ni dari awal sebab lagu yang aku betul-betul suka tidak boleh terhenti di tengah jalan.

Apa kaitan Mei Ling dengan lagu Tinting ini? Dia ni watak utama cerita, tapi apa yang Mei Ling boleh buat dengan lagu tradisional yang masuk Anugerah Juara Lagu itu? Aku kira Mei Ling tak perlu ada kaitan secara langsung dengan lagu Tinting untuk kekal wujud dalam cerita. Mei Ling pada asalnya pun tak pernah dengar lagu Tinting, apatah lagi tentang penyanyinya. Dia tidak boleh dipersalahkan kerana industri muzik tempatan kita sekarang pun langsung tiada lagu irama tradisional yang baru-baru. Radio-radio kita pun macam malu-malu nak putarkan lagu tradisional yang bagus-bagus. Takkan nak harapkan Sinar.fm atau Klasik Nasional je? Aku kadang-kala lagi suka mendengar lagu menggunakan gendang ibu dan rebana daripada drum dan gitar karen.

Bila the whole plot yang aku gambarkan sebelum ini terbentuk di ingatan aku dengan lebih terperinci, lagu Tinting ini sudah tak relevan lagi untuk digunakan. Tetapi aku patut rasa bersyukur sebab kerana bunyi gendang yang digunakan dalam lagu Tintinglah watak Taufiq ini dapat aku bentuk. Bila mendengar kembali lagu tu secara penuh, bunyi paluan gendang itulah yang aku rasa buat lagu itu dua tiga kali ganda lebih enak untuk didengar. Bunyi alat percussion itu ibarat pemangkin kekuatan lagu Tinting dan begitulah juga apa yang aku bayangkan peranan Taufiq nanti. Pertemuannya dengan Mei Ling sendiri umpama gendang yang dipalu; kuat bunyinya, deras temponya berirama dan seperti aku yang sangat suka akan lagu Tinting ini, kemudiannya nanti Mei Ling juga seboleh-bolehnya menjadi sangat suka akan kehadiran Taufiq dalam hidupnya.

Taufiq (Si gadis Tionghua, Bab 2)

Salam sejahtera semua,
Taufiq Amran tersentak dari lamunan pagi. Sedikit cemas, tetapi sebenarnya lebih kepada hairan tentang bagaimana dia boleh mengelamun  di awal pagi. Kuliah pertamanya bermula pada pukul 9 pagi seperti lazimnya. “Ah, banyak masa lagi,” fikir Taufiq. Mug berisi kopi di tangan masih suam-suam panas. Teguk, teguk pantas. Dia harus cepat bersiap. Dia tahu dia takkan lambat ke kuliah tapi itu bukan satu risiko yang dia sanggup ambil. Lebih-lebih lagi bila Prof Gunagan yang mengajar pagi ini.
Jam menandakan ada lagi 10 minit sebelum masuk pukul 9. Taufiq gegas mencapai kunci motor, keluar dari bilik asrama lantas berlari-lari anak separa melompat turun tangga dari tingkat 3 bangunan kolej kediaman universitinya. Ketika dalam perjalanan, fikirannya melayang ke Prof Gunagan, harimau sastera Malaya. Sangat garang bila mengajar dan  sangat sangat kedekut bila nak bagi markah tambahan untuk assignment. Pernah Taufiq dihalau keluar dewan kuliah sebab tidak menyiapkan latihan tentang ciri-ciri pendeklamasian sastera di kepulauan Nusantara abad ke-17. Kawannya lagi malang, teringat Taufiq sambil tersenyum. Dia dihalau keluar hanya kerana salah bagi jawapan kepada soalan maut yang dilontarkan harimau tersebut.
Taufiq lihat jam di tangannya. 5 petang. Panik, dia lihat jamnya kembali, kali ini mata sedikit terbeliak. SUDAH pukul 5 petang. Mana pergi tiga kuliah, rehat tengah hari dan sesi bengkel seni hari ini? Dia mula terasa yang dia semakin kerap mengelamun. Bahayanya kini ialah tempoh berangan dia memakan masa hampir satu hari. Taufiq sedar yang dia ada sebab kenapa dia semakin selalu terganggu hingga hilang fokus untuk belajar. Jawapannya ada pada sekeping kertas poster yang dia terbaca tiga hari lepas. Poster pertandingan yang ditampal di notis pemberitahuan itu berjaya menarik banyak perhatian pelajar sains sosial dan kemanusiaan sepertinya. Dalam masa tiga hari sejak ditampal pada setiap masa orang akan berkerumun membaca isi poster itu tanpa rasa jemu. Di mana-mana Taufiq berada di dalam fakulti kawan-kawannya asyik berbincang tentang poster itu. Tidak Taufiq ketahui poster pertandingan itulah juga yang menjadi pencetus gerak tari cerita yang menyatukan Taufiq dan Fatimah di pengakhiran nanti.
Taufiq sedang menunggang motornya masuk ke bandar raya. Dia masih menunggu jawapan balas dari kawannya Arsyad sama ada mahu turut menyertai pertandingan itu atau tidak. Dia tahu yang Arsyad si pemalas tu masih sedap dibuai mimpi petang. Mereka sudah bercadang untuk masak dan makan di rumah sewa Arsyad tapi sebelum itu Taufiq harus beli beberapa bahan di pasar raya. Memang sudah masuk tahap kronik agaknya penyakit Taufiq yang kuat berangan ini sebab  masih boleh mengelamun tentang poster itu ketika sedang berjalan di celah puluhan orang. Tanpa sedar, dia tertembung dengan seorang pekerja perempuan yang sedang dalam perjalanan pulang. Malang bagi perempuan itu dilanggar sampai jatuh terduduk sebab Taufiq badannya agak sasa dan besar, walaupun tidak gemuk. Nasib baik dia tak menangis, fikir Taufiq yang teringat akan pengalaman-pengalamannya yang lalu. Taufiq menghulurkan tangan kanannya untuk bantu perempuan itu kembali bangun sambil cuba membaca tag nama yang dipakai pekerja tersebut.
“Saya minta maaf banyak-banyak Mei Ling. Awak tak apa-apa kan?”

Jan 22, 2012

Mei Ling (Si gadis Tionghua, bab 1)

Salam sejahtera semua,
Untuk lebih memahami tentang diri gadis berbangsa Tionghua ini aku perlu lengkapkan serba serbi perihal biodata diri dia. Bahagian ni agak penting sebab untuk memastikan cerita yang lahir dalam kepala otak aku ni jadi lebih menarik untuk diceritakan dan untuk dibaca, Mei Ling perlu ada beberapa perwatakan. Tak susah pun nak fikir pasal benda ni semua. Pecahkan perihal diri Mei Ling ni kepada aspek fizikal, ciri-ciri peribadi dan latar belakang persekitarannya.

Aku fikir Mei Ling tidak perlu berbadan sasa sebab dia seorang perempuan. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Bila dia berjalan langkahnya perlahan. Nenek aku boleh jalan lagi lincah dari dia. Tapi perlahannya bersebab dan sebab-sebab itu akan diceritakan di kemudian hari. Pun begitu, langkah jalannya tak sama dengan langkah larian sebab Mei Ling bila berlari bukan setakat nenek aku, dengan aku sekali pun boleh kalah bila berlumba.

Perlukah watak utama sesebuah cerita seorang yang cantik atau tampan? Penulis yang baik selalunya akan mengelak dari menceritakan perihal kecantikan watak ceritanya sebab kecantikan itu ialah suatu perkara yang relatif dan juga subjektif. Oleh sebab itu pada cerita yang menyusul akan terselit ciri-ciri muka badan diri Mei Ling dan aku biarkan kepada pembaca untuk menilai sama ada Mei Ling ni cantik atau tidak. Aku tak kisah. Yang penting aku perlu pastikan yang semua orang suka akan watak Mei Ling yang aku cipta ni. Aku taknak cipta watak perempuan macam Bella Swan yang cepat lemah.

Namun begitu, ada satu aspek fizikal penting yang Mei Ling ada. Sepanjang cerita ini berkembang aku bercadang untuk menjadikan aspek itu satu bakat paling berharga dalam hidupnya. Di pengakhiran cerita, Mei Ling akan sedar yang pilihannya untuk menyelamatkan bakat itu nanti bererti dia harus berkorban sesuatu. Macam suspens, kan? (Adakah dia memiliki superpowers? Boleh terbang? Jangan risau, aku takde masa nak fikir cerita merepek macam tu).

Setakat ini cerita si gadis Tionghua sudah bermula dengan pengenalan watak utamanya, Mei Ling. Aku sedang berfikir bagaimana hendak meneruskan cerita ni. Tak menarik kalau aku ceritakan satu-persatu pasal Mei Ling. Lagipun watak utama cerita ni bukan dia seorang je. Plot cerita seterusnya sudah pun berlegar di dalam benak kepala aku, jadi aku rasa tak lama sebelum aku boleh sambung cerita ni di entri yang seterusnya. Rasanya entri berikutnya aku sudah boleh menulis menggunakan format cerita fiksyen biasa, tapi kalau dah tak tahan sangat tu akan timbul sikit-sikit monolog aku sebagai penulis. Bab kedua dalam cerita Si Gadis Tionghua ini akan bermula dengan Mei Ling kembali dari shift kerja sambilannya di Kuala Lumpur.

Si gadis Tionghua (Pengenalan cerita dan monolog penulis)

Salam sejahtera semua,
Entri kali ini lebih kepada idea yang sudah agak lama tertanam dalam kepala. Idea cerita aku ini sebenarnya tercetus tatkala mendengar lagu Tinting nyanyian Noraniza Idris. Waktu itu aku sedang menunggu komuter KTM di stesen Bank Negara dan entah tak pasal-pasal the whole plot came forming inside my head. Tak pasti sebab apa watak utama cerita ini ialah seorang perempuan Cina (lantaran itu tajuknya jadi sebegitu; Tionghua itu lazimnya merujuk kepada Cina). Sehingga ketika ini, dia masih tidak diberi nama. Umur pun tidak pasti, cuma boleh diagak dalam lingkungan 18-21 tahun. Aku perlukan watak perempuan itu seorang yang sudah tamat sekolah menengah tetapi disebabkan krisis kehidupan dia tak dapat nak melanjutkan pelajarannya. Sedih,kan?

Jadi, untuk memulakan cerita, si gadis Tionghua ini perlukan nama untuk dia panggil dirinya. Waktu asal terfikir pasal cerita ni aku tak kisah langsung pasal namanya. Iyalah, sebab semua ni hanya bermain dalam kepala otak aku je. Tapi untuk idea cerita itu berkembang dari dalam kepala ke pena dan kertas, nama tu jadi satu benda yang penting. Bila dah lama lepas tu aku beranikan diri untuk tanya pendapat di ruangan twitter dan kawan aku yang sorang ni mula bagi cadangan nama-nama yang sesuai untuk watak cerita aku ni. Kesian kawan aku tu sebab tak satu pun nama yang aku ingat dia cadangkan (HAHAHA) tapi aku berterima kasih sebab dia paid attention to my plea.

Mei Ling.
Aku rasa bersalah sebab main letak nama ni secara spontan. Maaf, dan untuk buat kau rasa lebih lega, Mei Ling, nama kau ni bukanlah permanent. Sementara je ni nama kau. Sehingga aku carikan nama yang betul-betul kau suka dan mempunyai pengertian yang lebih memberi kesan, kau panggillah diri kau dengan nama ni. Aku tak sediakan nama keluarga kau sebab bukan sampai masanya lagi. Bukan nama keluarga kau tak penting, tapi kalau aku main bubuh nama sebarangan ada yang makan tak habis nanti.