Aug 31, 2012

10.4 Istimewa Merdeka (Si Gadis Tionghua)


“Apasal dengan kau ni?” ujar Mei Ling keras.
Taufiq terkejut. Lengan Mei Ling dilepaskan dari genggamannya. “Minta maaf. Hey, saya Taufiq ni. Awak sudah lupa ke saya, Mei Ling?”
“Apa Mei Ling Mei Ling?? Nama aku Fatimah la. Dan aku tak kenal kau. Blah la!” Fatimah mula berjalan pergi.

Taufiq kebingungan. Dia yakin dan percaya perempuan yang naik ke atas pentas Dewan 3 sebentar tadi ialah Mei Ling. Muka dan tinggi badan pun sudah lebih kurang sama. Bila dia mendengar sajak terakhir itu dia dapat merasakan bulu romanya meremang. Sajak itu biasa-biasa sahaja; ya, mungkin lain dari yang lain tetapi unik dan mendalam erti tersiratnya. Yang Taufiq kagumi ialah suara perempuan itu. Bergetar, beralun dan berirama. Kalau orang lain hanya berdeklamasi, Taufiq fikir yang perempuan itu serupa lebih bernyanyi dari berdeklamasi. Dan suaranya, itu. Terkesan di hati dan terzahir di semua yang hadir. Sebab itu semua penonton semacam terpukau dan Taufiq terpikat. Sedap, suaranya, dan istimewa. Tapi suara itu lain dan tidak sama dengan suara Mei Ling. Dan Fatimah di depannya itu lagi lain bunyinya. Kasar dalam lembut, lebih hulu, lebih darat, lebih berahsia tentang dirinya.

“Nanti!” jerit Taufiq sambil mengejarnya. Fatimah yang berpaling melihatnya bila terdengar jeritan itu mula berlari anak menjauhkan diri. Di celah esak ramai itu Fatimah tidak mampu menghilangkan dirinya sekali lagi. Dia merasakan langkah lelaki itu semakin menghampirinya. Mahu tidak mahu dia segera masuk ke satu bilik lain melalui satu pintu di kanannya. Dia terlanggar bahu seorang perempuan lain tetapi dalam cemas dia tidak sempat meminta maaf dan segera lesap. Perempuan itu tersinggung tetapi belum sempat dia membuka mulut Taufiq ikut memasuki bilik itu. “Eh, Taufiq? Dia pun ada di sini?” bisik Diana. Dia pun menyusur mengikuti mereka.

Bilik yang mereka masuki itu rupa-rupanya adalah sebuah bengkel seni dan sedang berlangsung sesi lakonan impromptu. Lakonan spontan. Di tengah-tengah dewan ada tiga orang peserta. Perempuan yang melanggarnya tadi dan juga Taufiq turut berdiri kehairanan di situ. Di sekeliling mereka penonton duduk di atas lantai, menghadap mereka. Bengkel itu suram tanpa cahaya dan hanya bulatan tengah itu dilimpahi cahaya spotlight. Dengan segera Diana duduk bersila agar tidak terpanggil untuk berlakon sama.Taufiq dan perempuan itu pula lain ceritanya.

* * * * *

Di tengah-tengah bengkel. Satu persembahan, satu pementasan. Fatimah mengeluh. Dia berpaling melihat Taufiq merenungnya. Dia mengangkat keningnya seperti dia tidak kisah untuk berlakon. Dan sememangnya dia tidak kisah kerana dia memang suka akan lakonan, teringat Fatimah. Cis. Aku yang dalam masalah!
Lelaki 1 berpaling dan berkata: Salam pertemuan, pemuda dan saudari. Aku, remaja moden, datang untuk memerdekakan diri dan anda semua. Panggil aku Pemuda.
Lelaki 2 yang sedang duduk di atas kerusi membatuk dan berdehem sebelum berkata: Aku Orang Tua, anak-anak. Aku Orang Tua yang letih menunggu datangnya hari kemerdekaan bangsaku.
Lelaki 3 pula berkata: Perkenalkanlah diri anda, insan berdua. Aku ialah Pemerhati, dan seperti seorang pemerhati tugasku ini cuma memerhati. Perhati dan teliti dan hayati nasib bangsa nasib negara dan di kala ini aku mahu tahu erti hari merdeka kalian semua. Pada hari ini ketika ini aku, Pemerhati, hanya memerhati. Tidak berdiri di kiri atau di kanan. Tidak menurut kata Orang Tua dan tidak pula aku ikut ideologi Pemuda.
Taufiq tersenyum, tanda dia faham akan tema lakonan kali ini. “Aku berpegang dengan fahaman merdeka aku sendiri. Aku ada impian, aku ada cita-cita, dan aku takkan berdiam diri sebab aku ialah Pejuang. Aku berjuang atas nama negaraku, atas nama bangsaku, demi nasib kemajuan mereka. Aku ialah Pejuang.”
Keempat-empat memandang pula ke arah Fatimah. Mata Diana mengecil tajam, cuba mengenal pasti perempuan itu kerana rupanya seperti pernah dia kenal.
Fatimah tidak ada pilihan melainkan untuk turut serta.
“Namaku bukan mudah untuk anda ketahui. Semangatku sendiri bukan semua mampu fahami, kerana diriku sendiri bukan milikku seorang.” Fatimah tersenyum. “Bilaku berdendam, Mahsuri namaku. Andai saudara terpukau denganku, Tun Teja menjadi gelaranku. Jika kalian gerun dan takut melihatku, Tun Fatimahlah aku.” Fatimah lalu duduk bersimpuh di atas lantai, sebelum berkata, “Aku Srikandi. Aku datang untuk memerdekakan jiwaku.”

* * * * *

Orang Tua: Semua ini masih salah. Kau orang semua masih tak faham erti merdeka.
Pemuda: Mungkin pakcik yang tak faham, Orang Tua. Sebab itu negara kita masih macam ini. Masih ketinggalan!
Taufiq: Masih macam ini itu macam mana, Pemuda? Apa yang Pemerhati maksudkan tadi, ideologi? Apa ideologi kau?
Fatimah: …
Pemerhati: Pemuda bangkit dan menyatukan banyak orang. Pemuda itu sendiri ialah ideologi. Ideologi baru dan muda. Penuh dengan idea dan cita-cita ideal.
Orang Tua: (merungut) Idea yang tak tak realistik.. (Fatimah ketawa lembut)
Pemuda: Tetapi ideal! Wawasanku ideal demi pembangunan negara! Aku mahukan kesama-rataan, aku mahukan keadilan! Pendidikan percuma untuk semua dan undang-undang telus tanpa kekebalan. Tiada lagi hak istimewa, tiada lagi royalti percuma. Aku utamakan negara lebih dari bangsaku sendiri.
Orang Tua: Di situ kau silap. Kau salah! Kita Melayu! Kau cakap tentang kesamaan tetapi yang hilangnya nanti bangsa kita!
Fatimah: Negara kita bukan negara satu bangsa. Bukan Melayu seorang yang hidup di sini.
Orang Tua: Kalau kau betul-betul Srikandi kau takkan bantu si Pemuda ni.  Kau seorang srikandi. Jadilah seorang srikandi Melayu yang sebetulnya. Bela Melayu kita.
Taufiq: Aku mahukan yang terbaik untuk negara dan bangsaku. Tidak kurang dari itu. Aku ada caranya, aku tahu ianya akan berjaya. Kita mula dengan hari merdeka esok.
Pemerhati: Menarik.. baiklah, macam mana?
Taufiq: Senang caranya. Sebelum ini kau berkata tentang erti merdeka. Mungkin selama ini erti merdeka kita tidak sama, tidak sepakat. Ini yang menyebabkan kita tidak pernah bersatu dan maju.
Orang Tua: …sebab itu aku cakap kau semua masih salah!
Pemuda: Pakcik tidak membantu, Orang Tua. Betul kata Pejuang. Nampak sangat erti kemerdekaan aku tidak sama dengan erti kemerdekaan Orang Tua. Sebab itu dia suka cari pasal dengan aku.
Pemerhati: Erti merdeka adalah bebas dari cengkaman penjajah. Merdeka bererti tidak dibelenggu dengan ideologi dan kerahan paksa pihak luar yang akan mengeksploitasi kita.
Fatimah: Itu definisi merdeka kosong, sang Pemerhati. Itu apa yang orang akan cakap bila kau tanya mereka. Itu apa yang mereka hafal dari apa yang orang di televisyen bualkan.
Pemuda: Tapi itulah yang betulnya. Apa lagi erti kemerdekaan kau, Seri Srikandi?
Orang Tua: Barangkali srikandi kita ini lupa sejarah gamaknya. Lupa yang negara kita dijajah 446 tahun lamanya.
Fatimah: Dan Orang Tua masih ingat, ya, tentang bangsa Cina dan India yang datang ke sini?
Taufiq: Srikandi, kita bercakap tentang erti kemerdekaan. Bukan tentang Cina dan India. Kenapa kau jadi macam ini?
Fatimah: Habis, hanya Melayu yang merdeka? Cina dan India tidak merdekakah??
Taufiq: Bukan itu maksud aku..
Fatimah: Kalian bercakap tentang merdeka tetapi kalian takut akan erti merdeka. Jika kau betul-betul merdeka, kau takkan cakap-cakap pasal Melayu itu, Melayu ini. Kau takkan perlekehkan bangsa lain sebab Cina dan India sama penting di negara ni.
Orang Tua: Tapi bangsaku Melayu lemah! Aku wajib pertahankan Melayu!
Fatimah: Bukan dengan memulaukan bangsa lain! (Pemuda teriak: Aku setuju! Aku setuju sangat!!)
Pemerhati: Tetapi aku pernah mendengar yang bangsa lain benar-benar mempunyai erti merdeka yang berbeza dengan Melayu. Bila ditanya jika negara kita dijajah semula, mereka menjawab untuk melarikan diri ke tanah asal nenek moyang mereka.
Fatimah: Karut. Ada beribu-ribu yang sanggup mati mempertahankan negara. Kau dengar satu dua yang songsang tak semestinya yang lain sama ganyang.
Orang Tua: Itu yang aku takutkan. Jati diri lemah dan tidak patriotik.
Pemuda: Aku patriotik! Aku akan lebih patriotik kalau tampuk negara ni kami yang pegang! Leraikan parti politik lama, biar kami yang sambung!
Taufiq: Semangat merdeka boleh membara tanpa api politik, Pemuda. Betul kata Srikandi. Melayu, India dan Cina sama penting. Kita sama-sama kena memerdekakan diri kita.
Orang Tua: Hmmph. Itu aku sukar untuk percaya. Aku susah untuk terima. Aku bagi satu contoh. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bukan? Tetapi kenapa ada banyak papan tanda, iklan dan sari kata hanya dalam bahasa Cina? Kenapa ada jiran tua di rumahku takboleh bertutur dalam bahasa Melayu? Macam mana nak sepakat kalau takfaham bahasa? Sudah 55 tahun kita merdeka tapi takkan tak reti lagi cakap bahasa Melayu?
Fatimah: Habis, Orang Tua, sudah lebih 50 tahun kau merdeka. Kau reti cakap bahasa Mandarin atau Tamil??
Pemuda: hahaha.. (ketawa diam)

KRING!! Loceng berbunyi kuat. Penonton yang hadir bertepuk tangan kuat kerana taksub menonton lakonan mereka itu. Mei Ling menarik nafas dalam-dalam. Badannya seram sejuk tapi dahinya masih dibasahi peluh panas. Dia terasa tercungap. Lakonan empat lelaki di depannya itu sangat realistik dan bagus sehinggakan dia hilang kawalan diri. Mukanya mula merah padam akibat jerih melaungkan suaranya tadi. Datang si pengerusi majlis berucap sambil memuji mutu persembahan lakonan mereka semua. Dilihatnya Taufiq sedang berborak dengan lelaki Pemerhati. Bagus! Ini masanya untuk dia menyelinap keluar dari bengkel itu.

(bersambung)

No comments:

Post a Comment