Sep 7, 2012

10.5


Jam menghampiri pukul 5. Orang ramai mula penuh kembali setelah selesai solat Asar di surau di tingkat dua. Mei Ling bergegas susup menuju ke Pentas 1. Tak lama lagi teater ‘Kerusi Wali dari Acheh’ akan berlangsung dan Mei Ling perlu segera mencari tempat agar dirinya akan terlindung dari Taufiq dan Aliya. Mungkin juga dari penglihatan Pak Haji kalau-kalaunya, atau daripada sesiapa sahaja di Aswara ini yang tahu akan kisah hidup lampaunya. Dan sebolehnya dia mahu bersembunyi kerana mereka berdua, Pak Haji dan Aliya, tidak boleh tahu akan kehadirannya di sini. Tahu bererti malapetaka. Terkesan bererti melanggar janji menjauhi diri. Tapi Mei Ling perlu jawapan dan mungkin dengan melihat Aliya segala persoalannya akan terjawab.

Dia bersyukur sangat-sangat yang dia mempunyai kemahiran menukar intonasi dan tona suaranya sebegitu ketara. Malah Taufiq sendiri dapat diperdayanya. Loghat asalnya hampir Melayu; hanya yang betul-betul arif dapat mengesan loghat Tionghua dari mulutnya itu. Bila dia bertukar menjadi Tun Fatimah, semua orang akan mempercayainya sebagai Melayu. Ah, kalaulah orang tahu akan gelarannya itu satu Aswara akan menjadi gempar. Buat masa ini biarlah dia kelesa. Bukan tempatnya untuk dia bercerita. Dia melihat jam sudah pukul 5. Matanya ligat memerhati.

* * * * *

Teater sudah setengah jam berlangsung tetapi tiada satu kelibat Aliya atau Pak Haji dapat dikesan. Mei Ling sudah resah. Dia tidak boleh leka menonton pementasan itu. Tujuannya datang ke situ adalah Aliya. Cumapun bergitu, dia kagum dengan teater itu. Idea pementasan yang segar dan disulami dengan pencahayaan yang bagus serta sistem bunyian yang sempurna. Dia terkesan Taufiq yang berada di barisan hadapan penonton. Matanya melekat tidak berkelip melihat para pelakon memenuhi pentas. Mei Ling tersenyum keseorangan. Dia tahu perasaan Taufiq. Masing-masing ada minat dan impian yang terpendam. Dia cemburu akan Taufiq yang bebas mengasah bakat dan mengejar minat lakonannya itu. Dia sendiri mahu bebas. Ada minat yang dia harus buru tapi itu kisah lalu. Dia sedar yang semua itu takkan kembali. Di kirinya ada seorang penonton perempuan. Dari umurnya dia mengagak yang dia ialah seorang pelajar Aswara. Dia memberanikan diri bertanya tentang Aliya.

“Aliya? Aliya Tun Tejakah yang awak maksudkan?” bisik perempuan itu.
“Tun Teja? Aliya dapat pangkat Tun Teja?” Mei Ling terkejut. Tun Teja ialah gelaran diberikan kepada yang tercantik dan yang paling berkarisma di dunia seni Aswara dan Universiti. Terkenangkan akannya, Mei Ling tidak begitu terkejut mendengar berita itu. Aliya memang cantik dan ya, sudah tentu dia berhak mendapat gelaran itu.
“Bila dia dapat nama Tun Teja itu?”
“Sudah dua tahun. Dia menang Ratu Beradu buat dua tahun berturut-turut. Awak taktahukah? Saya dengar dia nak bolot kelima-lima gelaran srikandi yang ada.”
“Wow..” bisik Mei Ling perlahan. “Jadi, kalau dia sudah dapat gelaran Tun Teja…”
“…ya, dia juga pernah menjadi Che Siti dan Mahsuri. Sekarang orang lain yang dapat gelaran itu. Dan bila Aliya menang pertandingan teater hujung tahun ini, kemungkinan besar Tun Fatimah akhirnya akan bertuankan dia.”
“Huh? Tiada siapa jadi Tun Fatimah sekarang ini?” Mei Ling terkejut.
“Hish, awak ni. Ingat senang nak jadi Tun Fatimah? Gelaran itu sudah empat tahun kosong. Orang kata Pak Haji semacam tak rela bagi gelaran Tun Fatimah kepada sesiapa pun.”
Mei Ling terdiam. Pak Haji buat macam itu? Kenapa?
“Kenapa? Istimewa sangat ke Tun Fatimah sebelum ini?” Mei Ling bertanya.
“Saya tak tahu. Tak ramai yang tahu tentang Tun Fatimah sebelum ini. Kawan saya kata memang tiada rekod perempuan itu di Aswara. Kawan saya di Universiti pun kata benda yang sama. Yang ada ialah Tun Fatimah sebelumnya lagi. Dia itu memang hebat. Sekarang berada di Amerika Syarikat.”
“Iya??” Wah. Mei Ling terkedu. Rekodnya dipadam?
“Aliya tiada di sini. Dia sibuk, saya rasa. Dia pergi menjalani latihan drama di luar KL sekarang ni. Mungkin hari ini dia balik kot untuk singgah acara hari ini.”
Kalau macam itu sia-sia dia datang ke mari. Aliya tiada bererti misi selinap selidup dia ini gagal. Dia harus pulang. Dia keluar dari Pentas 1 tanpa menyaksikan sehingga tamat teater itu dan mula mencari jalan pulang. Sebuah pondok bas terletak luar pagar Aswara berhampiran dengan pintu utama. Mei Ling nampak satu bas di situ menurunkan penumpang. Dia berlari anak untuk menaiki bas itu. Pada masa yang sama sebuah teksi berhenti di bahu jalan. Seorang perempuan Melayu turun sambil mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi itu. Perempuan itu berjalan arah bertentangan dengan Mei Ling dan melintasinya tanpa pengenalan. Hanya pada pintu masuk lobi dia terdengar beberapa orang kawannya berbual sesama mereka.
“Eh, korang tengok tak lakonan impromptu dekat bengkel seni tadi? Menarik, kan?”
“Yalah. Tapi aku paling suka sesi lakonan terakhir tadi. Tak pasal-pasal dua orang penonton yang main menyerbu masuk bengkel tu kena paksa berlakon sama!”
“Ha’ahlah! Itu memang lawak. Tapi aku kagum dengan lelaki tu. Dia tak gelabah dan lakonannya pun mantap. Aku gerenti dia tu memang pelajar drama.”
“Aku suka tengok kawan dia si perempuan tu. Tapi korang perasan tak dialog pengenalannya tadi? Dia panggil dirinya Tun Fatimah. Pfft.. Rasanya dia taktahu kot Tun Fatimah tu gelaran paling terhormat kat sini? Main sebut je. Tun Fatimah yang terdahulu sekarang ni tua dan berjaya kat US sudah!”

Aliya terhenti berjalan. Adakah..? fikirnya dalam hati. Tiada sesiapa akan berani mengaku dirinya Tun Fatimah. Semua pelajar tahu dan hormat akan hal itu. Itu juga termasuk dalam tatatertib Aswara dan Universiti.  Sebagai seorang pelajar seni dan sastera, itu tidak mungkin berlaku. Lebih-lebih lagi mengucapnya di khayalak ramai. Aliya mula syak sesuatu. Fatimah, kembali ke Aswara?

(bersambung)

No comments:

Post a Comment