Jan 22, 2012

Mei Ling (Si gadis Tionghua, bab 1)

Salam sejahtera semua,
Untuk lebih memahami tentang diri gadis berbangsa Tionghua ini aku perlu lengkapkan serba serbi perihal biodata diri dia. Bahagian ni agak penting sebab untuk memastikan cerita yang lahir dalam kepala otak aku ni jadi lebih menarik untuk diceritakan dan untuk dibaca, Mei Ling perlu ada beberapa perwatakan. Tak susah pun nak fikir pasal benda ni semua. Pecahkan perihal diri Mei Ling ni kepada aspek fizikal, ciri-ciri peribadi dan latar belakang persekitarannya.

Aku fikir Mei Ling tidak perlu berbadan sasa sebab dia seorang perempuan. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Bila dia berjalan langkahnya perlahan. Nenek aku boleh jalan lagi lincah dari dia. Tapi perlahannya bersebab dan sebab-sebab itu akan diceritakan di kemudian hari. Pun begitu, langkah jalannya tak sama dengan langkah larian sebab Mei Ling bila berlari bukan setakat nenek aku, dengan aku sekali pun boleh kalah bila berlumba.

Perlukah watak utama sesebuah cerita seorang yang cantik atau tampan? Penulis yang baik selalunya akan mengelak dari menceritakan perihal kecantikan watak ceritanya sebab kecantikan itu ialah suatu perkara yang relatif dan juga subjektif. Oleh sebab itu pada cerita yang menyusul akan terselit ciri-ciri muka badan diri Mei Ling dan aku biarkan kepada pembaca untuk menilai sama ada Mei Ling ni cantik atau tidak. Aku tak kisah. Yang penting aku perlu pastikan yang semua orang suka akan watak Mei Ling yang aku cipta ni. Aku taknak cipta watak perempuan macam Bella Swan yang cepat lemah.

Namun begitu, ada satu aspek fizikal penting yang Mei Ling ada. Sepanjang cerita ini berkembang aku bercadang untuk menjadikan aspek itu satu bakat paling berharga dalam hidupnya. Di pengakhiran cerita, Mei Ling akan sedar yang pilihannya untuk menyelamatkan bakat itu nanti bererti dia harus berkorban sesuatu. Macam suspens, kan? (Adakah dia memiliki superpowers? Boleh terbang? Jangan risau, aku takde masa nak fikir cerita merepek macam tu).

Setakat ini cerita si gadis Tionghua sudah bermula dengan pengenalan watak utamanya, Mei Ling. Aku sedang berfikir bagaimana hendak meneruskan cerita ni. Tak menarik kalau aku ceritakan satu-persatu pasal Mei Ling. Lagipun watak utama cerita ni bukan dia seorang je. Plot cerita seterusnya sudah pun berlegar di dalam benak kepala aku, jadi aku rasa tak lama sebelum aku boleh sambung cerita ni di entri yang seterusnya. Rasanya entri berikutnya aku sudah boleh menulis menggunakan format cerita fiksyen biasa, tapi kalau dah tak tahan sangat tu akan timbul sikit-sikit monolog aku sebagai penulis. Bab kedua dalam cerita Si Gadis Tionghua ini akan bermula dengan Mei Ling kembali dari shift kerja sambilannya di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment