Langit malam waktu itu pekat hitam. Sepekat dan selikat resah hatinya. Mei Ling berjalan perlahan, kakinya lemah. Aliya selalu berkata, luka di hati jangan ditelan. Jangan dibiar, jangan ditahan. Tapi dia sudah masak dengan madah Aliya. Bererti dia juga sudah biasa untuk membatu, berkeras dan berdegil. Dan Aliya sudah tiada di sisinya. Pelik, bisiknya. Sedangkan Mei Ling kerap rimas bila Aliya mula deras meleterinya. Serupa mak tradisional, barangkali. Bagi Mei Ling, Aliya itu berjawatan sebagai ibu dan kawan setianya.
Selang satu dua langkah berjalan muncul pula muka Pak Haji di kotak angannya. Muka orang tua berjanggut putih yang lusuh dimamai usia itu seperti menyeringai memandangnya. “Saya ingat, Pak Haji. Tak perlu tenung saya macam itu sekali,” ucapnya dalam hati. Cukuplah sudah orang tua itu menghantui masa silamnya. Dia tidak perlukan Pak Haji untuk menghantui fikirannya juga. Perasaan hormat, kagum dan sayang semuanya ada padanya. Pak Haji itu sudah lama dikenalinya. Jawatannya pula dalam hidup Mei Ling merangkap sebagai datuk tua pemberi nasihat dan peringatan. Pencerita akan asam garam kehidupan dan tempat bagi Mei Ling meminta tunjuk ajar.
Apa perlu dia kisah akan usaha Taufiq itu? Sememangnya tiada kaitan langsung antara pertandingan itu dengan dirinya. Mei Ling bagaikan tidak percaya bila Taufiq mula bercerita tentang teater dan Aswara. Ingatan lampau menyinggah tiba dan Mei Ling tidak boleh berdiri senyap begini. Dia perlu berjalan atau berlari atau menggerakkan badan agar otaknya menyepi. Sepanjang malam itu Mei Ling berjalan menghirup udara malam untuk menenangkan fikiran. Amalan ini sudah lama dia dan Aliya lakukan bersama sewaktu masa dahulu. Dan kini dia mula berjalan sambil sesekali merenung bintang langit. Aswara, fikirnya lagi. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Aliya. Barangkali Aswara memberi Aliya lebih peluang untuk dia meleter seseorang, atau sesiapa yang dia jumpai. Atau mungkin Mei Ling sudah berubah, sudah matang dan sudah lut akan leteran mesra Aliya itu, menyebabkan Aliya meninggalkannya. Sudah berani untuk melupakan masa yang sudah berlalu. Dia sedar yang dia rindukan kawannya, Aliya. Biarpun Pak Haji melarangnya dari terlibat dengan Aswara, atau dengan Aliya sekalipun, dia harus jenguk pergi. Mungkin masa kali ini sudah merawati luka hati kita semua, bisik hatinya.
Tapi bagaimana harus dia mula semua ini? Dia bukan siswazah Universiti, dia bukan ahli kelab teater, dan dia sudah semestinya tidak ada kaitan dengan Aswara. Barangkali dia boleh menyamar jadi tukang masak cafe, ataupun salah seorang dari anggota pencuci. Satu perkara yang penting, Pak Haji dan Aliya tidak boleh tahu sama sekali akan kehadirannya di Aswara. Kalau tidak, luka lama akan berdarah. Sedangkan dirinya sekarang ini membawa luka hati yang meradang merah. Tapi dia perlu pergi kerana dia masih belum sembuh. Mungkin dengan melihat akan kesejahteraan Aliya dia akan sembuh dan boleh memulakan diari kehidupan baru. Tidak lama lagi, fikirnya. Duit sewa biliknya sudah cukup dan Mei Ling yakin dia tidak perlu lagi berpenat lelah bekerja mencari duit lebih. Pelajarannya boleh disambung. Dia cuma perlu memikirkan jalan untuk menyelinap masuk dan memerhati. Dan Aliya tidak perlu tahu.
No comments:
Post a Comment