“Taufiq, siapa perempuan tu?” tanya Diana bersahaja. Dia cuba mengawal intonasi suaranya kepada neutral, supaya Taufiq tidak dapat kesan sedikit perasaan cemburu dan ingin tahu yang lahir di hatinya. “Hm, nama dia Mei Ling. Aku kenal dia tempoh hari. Pembetulan: aku sebenarnya tak sengaja terlanggar dia waktu aku keluar ke bandar hari itu. Kalau tak silap, kat pasar raya ni lah aku langgar dia! Jadi, secara tak langsung kitorang pon berkenalan,” balas Taufiq sebelum ketawa besar. Menarik bunyi ketawanya, fikir Diana. Hujung mulutnya turut terukir senyum kecil.
Mereka sambung berjalan. Diana masih tidak berpuas hati dan bertanya lagi, “Jadi, sebagai hukuman kau langgar dia, dia mintak kau belanja dia makan? Wah, entah-entah dia memang sengaja buat-buat kena langgar kemudian pura-pura sakit.” Taufiq diam sebentar, pandangan matanya jauh ke hadapan. "Taklah. Memang kuat kot aku langgar dia. Dan pasal belanja makan tu… adalah ceritanya. Tak menarik pun. Aku taknak cerita kat kau,” jawabnya, masih tersenyum. Hmm, bagus. Dia tidak melenting bila aku cuba jadikan si Mei Ling tu yang jahat, fikir Diana. Maknanya, tak ada apa-apa yang istimewa antara mereka.
“So.. Taufiq, kau mesti nak masuk pertandingan Aswara itu, kan?” tanya Diana. Seperti Taufiq, Diana pun memberi perhatian kepada poster yang ditampal itu. Bezanya cuma dia masih tidak pasti sama ada mahu terlibat atau tidak. Apa yang Diana tahu, pada tahun ini Aswara menganjurkan pertandingan teater kebudayaan Melayu peringkat kebangsaan. Pertandingan itu terbuka, dan setiap pasukan yang bertanding harus mempersembahkan sebuah teater bercirikan seni tradisional Melayu. Tiada tema yang khusus diberikan, tapi Diana tahu untuk memenangi pertandingan teater ini persembahan itu haruslah dinamik. Bererti, selain daripada jalan cerita dan skrip yang mantap, teater yang bagus perlu ada nyanyian, tarian dan musik latar belakang yang bersesuaian.
“Itu sudah semestinya,” balas Taufiq. “Dan bercakap pasal pertandingan Aswara, Arsyad pun akan turut serta. Join lah team kitorang, boleh kau jumpa Arsyad nanti,” sinis Taufiq sambil tersenyum memandang Diana. Diana mengeluh. Semua orang tahu yang Arsyad tu suka akan Diana. Semua orang, termasuk aku, cuma masalahnya aku tak minat kat kau! Diana sudah keras memberi petunjuk yang jelas dan nyata yang dia tidak berminat tapi Arsyad ni termasuk dalam kategori degil nak mampus. Taufiq seorang yang tahu sudah berapa lama Arsyad tu dah jatuh hati dengan Diana. Dia rasa kasihan sebab Diana itu cantik rupanya. Dia pelik kenapa Diana tu masih single sedangkan berpuluh-puluh lelaki mengaku mahukannya jadi teman wanita.
“Di, jomlah masuk pertandingan ni. Aku dengar kelab teater Seri Menanti memang sudah confirmed turut serta. Itu belum lagi Wau Bulan. Afandi, tukang skrip team kita kata dia sedang bikin skrip teater yang mantap supaya kita boleh kalahkan kelab teater Tamingsari. Itu semua kelab-kelab teater peringkat negeri. Kita cuma budak-budak uni. Kami perlukan kau, Di.”
“Macam mana pulak kau perlukan aku? Apa yang aku boleh buat?” tanya Diana, keliru.
“Kami perlukan seorang koreografer seni tradisional. Setakat ini hanya kau seorang yang aku tahu arif dalam hampir semua jenis tarian tradisional Melayu. Kau jugak yang bagitau kat satu batch kita waktu sesi induksi dulu.” jawab Taufiq. “Kitorang perlukan kau take in charge bahagian tarian teater ini.”
No comments:
Post a Comment