Feb 11, 2012

Diana (Si gadis Tionghua, Bab 5)

Salam sejahtera semua,
“Sedapnya benda alah ni,” kata Diana sambil mengunyah croissant bersalut cokelat dan berinti madu. “Kau nak sikit?” ajaknya lagi kepada Taufiq yang sedang sama-sama berjalan dengannya di pasar raya. Taufiq toleh kepalanya ke sisi untuk melihat apa yang Diana makan dan menggeleng. “Di, kau makan tak ada rupa macam perempuan makan. Aku pun tak sanggup makan benda semanis tu.” ujarnya.

Nur Diana mencebik bibir dan terus makan. Baginya tak salah untuk menikmati makanan seperti itu. Badannya masih dikawal, malah dia sebenarnya sangat menjaga berat badannya. Badan ideal bagi setiap wanita, fikirnya tentang diri sendiri sambil tersenyum. Dia sudah pun berasa sangat gembira sebab dapat berjalan-jalan dengan Taufiq keluar ke bandar, walaupun hanya untuk menemani Diana membeli buku untuk kuliah. Sedikit kelainan sebab selalunya mereka hanya berjumpa di fakulti universiti. Kali ini tidak. Walaupun Taufiq hanya seorang kawan, dia tahu ramai kawannya yang akan rasa cemburu bila dapat tahu Taufiq keluar bersamanya.

Fikirnya, Taufiq ini boleh tahan juga orangnya. Tidak terlalu handsome (sebab dia tak ada keyakinan untuk memiliki lelaki kacak sebagai teman lelaki), tidak terlalu sasa (dia rasa sedikit geli melihat lelaki yang ototnya berketul-ketul) dan bukan seorang casanova (dia berharap, “Tolonglah!”  si Taufiq ni bukan casanova). Bila difikirkan kembali, Taufiq itu alim orangnya, sangat pemalu bila berbual (“Waaaah sangat cute!”) dan juga pendiam. Dia bukan lelaki yang suka mengusik-usik perempuan di tepian jalan (padahal dia dapat tahu yang Taufiq itu diam sebab selalu mengelamun dan berangan setiap masa). Diana tidak rasa dia perlukan seorang teman lelaki pada waktu ini. Dia masih baru di universiti dan pengalaman silamnya itu membuatkannya lebih berhati-hati tentang bercinta. Tapi kalau Taufiq pun sudi dengannya, tidak mungkin dia akan berkata tidak. Senyum Diana semakin lebar.

“Oi, kenapa kau tersenyum sorang-sorang ni? Dah jumpa ke apa barang yang kau nak beli?” kejut Taufiq dari lamunannya. Dah sudah. Dia pulak yang mengelamun. Ni mesti effect berjalan dengan Taufiq. Taufiq, kawannya. Dia tak berhenti-henti menekankan yang Taufiq itu kawannya (buat masa sekarang!), sedangkan ada banyak kawan perempuannya yang bermatian nak bercakap dengan Taufiq. “Erm, belum. Buku yang aku perlu beli tu takde pon kat rak sini. Dari tadi aku cari',” balas Diana. Dia melihat jam di tangan. Hari sudah petang. Dia menoleh ke Taufiq sambil berkata, “Am, boleh tak kau tolong aku carikan buku tu? Aku rasa sangat lost.”

“Fine, aku tolong kau cari. Tapi tolong jangan pangggil aku Am. Itu panggilan keluarga sahaja,” balas Taufiq. Dia memandang jauh di kedai buku itu, merenung rak buku yang manakah buku Diana cari itu mungkin berada. Dia bergerak ke bahagian lain. Diana sambung mencari. Datang Mei Ling di sisinya, melihat buku-buku di rak yang sama. Riak mukanya berkerut bila jari telunjuk yang digunakan berhenti, menandakan jilid buku yang dicari tidak dijual di rak. Dia merungut perlahan, tapi cukup untuk Diana mendengarnya. Diana ketawa kecil. Mei Ling memandang Diana sambil separuh tersenyum. “Tak boleh harap, kan, kedai buku ni?” katanya. “Kedai je besar. Yang sibuk dijualnya cuma komik, majalah dan buku autobiografi Steve Jobs. Geram.” Sambil ketawa, Diana membuka mulutnya untuk bercakap dengan gadis Cina yang dia tidak kenal ini tetapi dia lihat Taufiq sedang berjalan ke arah mereka. Melihat pergerakan mata Diana, Mei Ling berpusing untuk melihat siapa yang berada di belakangnya.

“Taufiq Amran.. bukan? Hari itu awak langgar saya sampai sekarang punggung saya rasa sakit,” ujar Mei Ling sambil tersenyum.
Taufiq tersenyum bersalah. “Mei Ling, awak jugak yang cakap awak tak apa-apa hari itu. Nak saya belanja awak makan lagikah?”

Mei Ling melangkah pergi, tapi sempat dia toleh kepalanya ke arah Taufiq sambil menjelir lidah, “Saya tak minta awak belanja pun. Awak tu yang rasa bersalah sangat,” balas Mei Ling, masih tersenyum. Mei Ling keluar dari kedai buku. Taufiq dan Diana hanya memerhatikan Mei Ling pergi. Diana memandang Taufiq yang masih diam melihat pintu keluar kedai buku itu.

Diana terdiam. Awak?? Saya?? Sejak bila Taufiq guna awak-saya bila bercakap?? Dia belanja perempuan makan??

Api cemburu di hati Diana tercetus.

No comments:

Post a Comment