Aug 20, 2012

10.3


Pelan selinap seludup Mei LIng bertukar menjadi haru-biru dalam sekelip mata.

Semuanya bermula apabila Mei Ling yang kebosanan menunggu datangnya pukul 5 petang pergi ke Dewan 3 untuk mendengar pendeklamasian puisi. Fikirnya tidak salah untuk dia meluangkan masa menghayati seni sastera. Tambahan pula Aswara telah menjemput beberapa tokoh seniman tempatan untuk turut serta berkongsi sajak gubahan mereka kepada semua yang hadir. Dia hampir dan duduk di kerusi kosong di sebelah tepi dewan, terasing sedikit dari yang lain tetapi tidak terpisah dari lontaran suara pendeklamasi. Dia cukup suka pabila semua seniman berkumpul. Lafas syahdu dan barisan kata yang berselindung, semuanya memberi semacam erti ketenangan kepadanya.

Setelah beberapa pendeklamasian, pengerusi majlis mengajak mana-mana penonton yang hadir untuk naik ke atas pentas untuk mendeklamasi puisi kepada semua. Seorang lelaki dari kalangan penonton berdiri dengan sukarelanya lalu naik ke pentas untuk bersyair. Dari raut muka dan usianya Mei Ling mengagak yang lelaki itu merupakan seorang pelajar Aswara. Selepas itu seorang perempuan berusia lingkungan awal 30-an pula mempelawa dirinya untuk mencuba mendeklamasi sajak yang digubah oleh salah seorang seniman jemputan sebelum itu. Penonton bertepuk tangan memberi semangat kepada para pendeklamasi dan Mei Ling mula terseyum menghayati acara itu. Kemudian pengerusi majlis berkata bahawa masih ada masa untuk seorang penonton terakhir untuk naik ke pentas. Dia memandang semua penonton yang ada, kepalanya lambat-lambat berpusing. Matanya berhenti ke arah Mei Ling lalu dia mengangkat tangannya sambil tersenyum, memberi isyarat kepada Mei Ling. Mei Ling tersentap, cemas.

Sudah terlambat baginya untuk beredar meninggalkan dewan itu dan dia tidak mahu menarik perhatian orang denan melarikan diri. Mahu tidak mahu Mei Ling menggagahkan dirinya melangkah ke atas pentas. Dia menghampiri mikrofon yang telah didirkan di tengah pentas itu sambil menarik nafas dalam-dalam.
“Selamat tengah hari, cik. Baiklah, cik sudah bersedia? Mahu mendeklamasi puisi sendiri atau mahu pilih mana-mana sajak yang ada di sini?” tanya pengerusi majlis sambil menunjuk beberapa helaian kertas sajak ditangannya. Mei Ling meneguk air liur, mulutnya terkunci. Lama dia mendiam sebelum akhirnya dia menggeleng. Beg tangan yang disandang di bahu diletaknya ke atas lantas. Dia menghela nafas, perlahan, dan lama berdiam, sebelum bermula:

Deras air berlari cemas
Ligat api menari rimas
Sejuk melintang angin sayu
Diam bumi menyepi membatu.

Jika aku menangis, datangkah kau kepadaku?
Bila aku tertawa, gembirakah kau denganku?
Bersatukah kita, atau terpisah akhirnya?
Akan nafsu hatiku dan iman kalbumu
Akan lisan lidahku dan kerah jiwamu.

Cemas air perasaanku deras
Rimas nyawaku berapinya ligat
Sayu hatiku berangin sejuk
Membatu mulutku kebumi diam.

Biarkan aku sendiri bila kau sepi
Lupakan senyumku bila kau gembira
Engkau aku dan kita bukan caranya
Aku terima nasibku, usahlah kau terganggu
Kerna aku tahu Tuhan masih bersamaku.

Mei Ling membongkok mencapai beg tangannya semula. Dia perasan yang dewan masih senyap. Dia mengangkat pandangan matanya perlahan ke arah penonton dan tersenyum kecil sebelum mula melangkah turun dari pentas. Kedengaran satu dua orang bertepuk perlahan, seperti berombak bunyinya menangkap bunyi tepukan orang yang lain sebelum akhinya seluruh isi dewan itu gamat dengan tepukan tangan. Beberapa orang bertepuk tangan sambil berdiri dan tersenyum memandangnya. Sang pengerusi majlis segera datang kepadanya sambil berjabat tangan. Dia meminta izin Mei Ling supaya puisi yang dideklamasinya tadi disalin supaya boleh dihimpunkan dalam koleksi puisi Aswara. Mei Ling antara dengar atau tidak semua itu. Dia sendiri berasa keliru. Bukankah dia hanya mahu meluangkan masa di sini? Kenapa dia yang naik ke atas pentas?

Dia segera beredar keluar dari Dewan 3. Di belakangnya kelihatan pengerusi majlis masih cuba mengikutnya agar dapat dia ambil butir maklumat Mei Ling. Mei Ling segera bergegas menyusup laju di celah ramai orang di koridor kanan yang menghubungkan antara dewan-dewan dan bengkel seni. Dia mencapai selendang dari dalam bagnya lalu disarung ke kepalanya pantas. Sambil berjalan, dia bergantung harapan kepada pantulan cermin-cermin yang terhias di dinding-dinding koridor untuk mengenakan selendangnya itu. Dia harus menghilangkan dirinya, fikirnya. Tiba-tiba datang tangan dari belakang, memegang hujung lengannya, “Hey, nanti! Tunggu sekejap!”
Mei Ling terhenti. Suaranya macam pernah dia dengar. “Lepaskan tangan saya.”
“Nanti. Dengar dulu apa saya nak cakap. Pandang saya.”
Mei Ling berpusing perlahan menghadapnya. Peluh mula mengalir di dahinya. “Awak nak apa dari saya?”
“Tiada apa-apa.” ujar Taufiq sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Strictly no flirty languages, excessive smileys, or being overly-familiar (unless I know you personally). Thank you for reading!